BERITA TERKINI   PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

Ambank Group Unjur Malaysia Catat Pertumbuhan KDNK 5.1 Peratus Pada 2024

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- AmBank Group mengunjurkan Malaysia mencatatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5.1 peratus pada 2024, naik sedikit daripada unjuran sebelumnya.

Pertumbuhan ini dijangka disumbang oleh pengembangan domestik dan persekitaran inflasi yang sederhana pada suku keempat tahun lepas, kata kumpulan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.  

AmBank Group juga melihat kadar dasar semalaman (OPR) pada paras tahun lepas sebagai neutral, sejajar dengan penilaian Bank Negara Malaysia (BNM), yang menyokong pertumbuhan ekonomi.

Ini dicerminkan menerusi perbelanjaan pengguna di tengah-tengah peningkatan pengeluaran kad kredit (Suku Keempat 2024: 6.3 peratus berbanding Suku Ketiga 2024: 5.7 peratus).

“Dengan prestasi positif dalam pasaran buruh, apabila kadar pengangguran mencecah paras terendah dalam tempoh sedekad iaitu pada 3.1 peratus sehingga Disember 2024, kami berpandangan OPR akan kekal stabil pada 3.00 peratus dalam tempoh terdekat,” kata kumpulan itu.

Dari segi penawaran sektor perkhidmatan meneraju pertumbuhan pada suku tersebut, dengan unjuran peningkatan 5.5 peratus, disokong oleh sektor pelancongan kerana Malaysia merekodkan lebih 25 juta kedatangan pelancong antarabangsa pada 2024 (2023: 20.1 juta).

“Selain itu, kami menjangka sektor pembinaan akan terus mencatatkan pertumbuhan dua angka pada suku tersebut (Suku Keempat 2024: 19.8 peratus berbanding Suku Ketiga 2024:19.9 peratus), hasil pembangunan pusat data, yang boleh menjadi salah satu faktor menyumbang kepada prestasi lebih kukuh pada Suku Keempat 2024,” katanya.

Bagi 2025, kumpulan itu mengunjurkan pertumbuhan KDNK tahun penuh Malaysia pada 4.6 peratus, dengan risiko pertumbuhan perlahan disebabkan faktor luaran seperti ketidaktentuan ekonomi global.

-- BERNAMA