Blackmores Peroleh Sijil Halal Jakim, Perluas Akses Kepada Pengguna Islam

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Komitmen BLACKMORES dalam menyediakan suplemen kesihatan berkualiti tinggi kepada lebih ramai pengguna termasuk masyarakat Islam, diperkukuh menerusi pemerolehan sijil halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengurus Negara BLACKMORES bagi Malaysia dan Singapura Kumaran Chandrasergaran berkata pencapaian menjadi jenama barangan buatan Australia pertama yang mendapat sijil halal, mengukuhkan kepimpinan jenama berkenaan dalam industri kesihatan dan kesejahteraan.

"Selain pematuhan halal, pensijilan ini mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi BLACKMORES terhadap prinsip etika termasuk sumber bahan yang bertanggungjawab, amalan buruh yang beretika, kelestarian alam sekitar dan kebajikan haiwan.

"Perkara ini memastikan produk kami memenuhi standard global tertinggi untuk pengguna di Malaysia dan di luar negara," katanya kepada Bernama bersempena dengan Majlis Penyampaian Pensijilan Halal BLACKMORES Malaysia di sini hari ini.

Kumaran berkata syarikat itu menjalani audit ketat di kilang Warriewood dan gudang Bungarribee di Australia, dengan setiap proses dinilai begitu teliti berdasarkan piawaian antarabangsa seperti Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP), Amalan Pengilangan Baik (GMP), dan International Organisation for Standardisation (ISO) bagi memastikan setiap peringkat pengeluaran mematuhi standard kecemerlangan tertinggi.

Beliau berkata JAKIM diiktiraf secara global sebagai piawaian emas untuk pensijilan halal kerana langkah pematuhan yang ketat dan dihormati.

"Hari ini, ketika meraikan pencapaian luar biasa ini, kami dengan bangganya menegaskan bahawa jenama seperti BLACKMORES memperoleh pensijilan halal JAKIM, bermakna suplemen kami memenuhi piawaian antarabangsa tertinggi bukan hanya untuk satu komuniti, tetapi juga untuk semua pengguna.

"Pencapaian ini bukan sekadar mencerminkan dedikasi kami terhadap kualiti dan integriti, bahkan turut membuka peluang baharu untuk inovasi dan pertumbuhan, serta memperluas akses kepada suplemen berkualiti tinggi yang disahkan halal oleh JAKIM," katanya.

Selama beberapa dekad, BLACKMORES menjadi jenama dipercayai dalam bidang kesihatan dan kesejahteraan, terkenal dengan komitmen terhadap sains semula jadi, amalan beretika dan ketelusan.

Kumaran berkata pensijilan halal ini memainkan peranan penting dalam memastikan ketelusan dalam bahan produk dan proses pengilangan.

Kumaran berkata Malaysia diiktiraf secara global sebagai peneraju dalam sektor farmaseutikal halal, dengan memperoleh sijil halal JAKIM, BLACKMORES kini berada dalam kedudukan strategik dalam ekosistem penting ini.

"Pensijilan ini membuka peluang pertumbuhan baharu, membolehkan BLACKMORES memperluas pasaran ke negara majoriti Muslim di rantau ini dan peringkat antarabangsa.

"BLACKMORES juga berbangga diiktiraf sebagai Platinum Trusted Brand, gelaran yang dimenangi selama 10 tahun berturut-turut hasil undian oleh rakyat Malaysia. Pengiktirafan ini melambangkan kepercayaan dan kesetiaan yang telah dibina selama ini," katanya.

Majlis penyampaian pensijilan halal itu turut dihadiri Ketua Perundingan dan Penasihat Halal daripada Halal Development Corporation Berhad (HDC) Mohd Dhaliff Ghaus Mohd Anuar dan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Hainecke.

Sementara itu, Mohd Dhaliff Ghaus berharap BLACKMORES akan terus mengekalkan prinsip halal sambil mengekalkan standard tinggi, meneroka peluang, dan memacu inovasi baharu dalam pertumbuhan ekosistem halal.

"Pensijilan halal memainkan peranan penting dalam memastikan kandungan suplemen sejajar dengan keperluan pengguna dan memenuhi piawaian kebersihan etika tertinggi.

"Proses mendapatkan sijil halal ini sangat ketat. Ia memerlukan audit menyeluruh, kawalan kualiti dan komitmen tidak berbelah bahagi daripada kepimpinan dan petugas. BLACKMORES menunjukkan ketahanan dalam mengharungi proses ini dan mengadaptasi halal sebagai nilai strategik, bukan sekadar keperluan pematuhan," katanya.

-- BERNAMA