Niaga Hadapan MSM Teruskan Kenaikan Bagi Lima Hari Berturut-turut

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 12 FeB (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives meneruskan kenaikannya bagi lima hari berturut-turut didorong oleh paras stok yang rendah di negara ini, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata sentimen pasaran turut mendapat rangsangan daripada prestasi kukuh minyak kacang soya di Chicago Board of Trade.

“Kami menjangka paras sokongan pada RM4,600 setan metrik dan paras rintangan pada RM4,750 setan metrik,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, cabang penyelidikan MIDF Amanah Investment Bank Bhd, MIDF Research berkata harga MSM dijangka kekal stabil tahun ini, antara paras RM4,000 dan RM5,000 setan metrik.

Bagi bulan Februari, kestabilan harga akan disokong oleh aktiviti penyimpanan semula stok menjelang bulan Ramadan, ditambah dengan pengeluaran minyak sawit yang lebih perlahan dan paras stok penutup yang lebih rendah.

Pada penutup dagangan, kontrak Februari 2025 melonjak RM47 kepada RM4,875 setan metrik, Mac 2025 naik RM37 kepada RM4,726 setan metrik dan April 2025 menokok RM28 kepada RM4,621 setan metrik.

Kontrak Mei 2025 naik RM24 kepada RM4,529 setan metrik, Jun 2025 meningkat RM25 kepada RM4,433 setan metrik dan Julai 2025 menambah RM19 kepada RM4,350 setan metrik.

Jumlah dagangan menokok kepada 119,246 lot daripada 106,188 lot pada Isnin manakala kepentingan terbuka turun kepada 225,625 kontrak daripada 226,292 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Februari Selatan meningkat RM50 kepada RM4,900 setan metrik.

-- BERNAMA