BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Pengeluaran Getah Asli Malaysia Turun 5.1 Peratus Kepada 38,299 Tan Pada Disember

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia turun 5.1 peratus kepada 38,299 tan metrik pada Disember 2024 daripada 40,341 tan metrik pada November 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata perbandingan tahun ke tahun menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat sebanyak 26.2 peratus berbanding 30,342 tan metrik pada Disember 2023.

"Pengeluaran getah asli Malaysia pada Disember 2024 disumbangkan terutamanya daripada sektor pekebun kecil (89.4 peratus) berbanding sektor estet (10.6 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah stok getah asli pada Disember 2024 meningkat 1.4 peratus kepada 167,745 tan metrik berbanding 165,384 tan metrik pada November 2024 dengan kilang pemproses getah menyumbang 88.7 peratus daripada stok diikuti kilang pengguna getah (11.2 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Sementara itu, DOSM berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 44,338 tan metrik pada Disember 2024, meningkat 1.8 peratus daripada 43,562 tan metrik pada November 2024.

Ia berkata China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 49.0 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2024 diikuti Jerman (12.9 peratus), Emiriah Arab Bersatu (7.3 peratus), Amerika Syarikat (3.7 peratus) dan Portugal (3.3 peratus).

"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk-produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah.

"Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama yang bernilai RM1.5 bilion pada Disember 2024, meningkat 6.2 peratus berbanding RM1.4 bilion pada November 2024," katanya.

Selain itu, DOSM berkata harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat meningkat 2.3 peratus kepada 699.35 sen sekilogram pada Disember 2024 berbanding 683.48 sen sekilogram pada November 2024, manakala getah sekerap naik 3.9 peratus kepada 757.28 sen sekilogram berbanding 728.68 sen sekilogram sebelumnya.

Ia berkata trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula meningkat antara 2.3 peratus dan 3.5 peratus.

“Perubahan harga di peringkat global seperti yang dilaporkan oleh World Bank Commodity Price Data turut menunjukkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) meningkat 3.2 peratus daripada US$1.93 sekilogram kepada US$1.99 sekilogram (US$1=RM4.46), dan Singapura/Malaysia masing-masing meningkat 4.1 peratus daripada US$2.29 sekilogram kepada US$2.38 sekilogram,” kata DOSM.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran 2024, pasaran getah Kuala Lumpur bercampur-campur dengan GMM 20 mengalami peningkatan harga. 

"Sentimen pasaran disokong oleh kebimbangan yang berpanjangan untuk bekalan akibat hujan lebat dan banjir di negara-negara utama pengeluar getah asli.

"Ia juga dirangsang oleh kenaikan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau berikutan prestasi ekonomi China yang lebih baik daripada rangsangan tambahan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi," tambah DOSM.

-- BERNAMA