Bagan Datuk Bakal Muncul Sebagai Hab Pusat Data Dengan Projek Bernilai RM569 Juta - PRIVASIA
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- PRIVASIA Technology Bhd (PRIVASIA) bakal membangunkan daerah Bagan Datuk, Perak sebagai hab infrastruktur digital, berikutan pemeteraian perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM569 juta bagi projek pusat datanya.
Timbalan Pengerusi Eksekutif PRIVASIA Datuk Puvanesan Subenthiran berkata langkah itu mencerminkan strategi syarikat untuk meningkatkan pembangunan pusat data melangkaui lokasi tradisional seperti Lembah Klang dan Johor.
“Apabila sesuatu tempat menjadi terlalu sesak, sumber semakin sukar untuk diperolehi, dan kami tidak mahu membina sesuatu dengan kesan sosioekonomi yang terhad.
“Kami mahu projek ini membantu memacu pembangunan di kawasan ini,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak EPCC di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.
Puvanesan berkata projek itu yang melibatkan anak syarikatnya, Silverstreams dan Inspur telah dibangunkan selama kira-kira dua tahun dan kini sedang memasuki fasa pembinaan.
Menurut kenyataan bersama oleh PRIVASIA dan Inspur Cloud Information Technology Co Ltd, kontrak EPCC itu menandakan bahawa projek tersebut telah bergerak melangkaui perancangan kepada penyampaian, dengan kerja-kerja awal sedang dilaksanakan di tengah-tengah permintaan yang meningkat bagi infrastruktur digital berkapasiti tinggi dan selamat.
Puvanesan berkata fasa pertama projek pusat data itu yang melibatkan kapasiti 10.06 megawatt (MW) kini sedang proses pelaksanaan.
“Inspur merupakan pemain berpengalaman dalam ruang pusat data, dan kami gembira ketika proses pemilihan kerana dapat benar-benar memilih dan bekerjasama dengan Inspur,” katanya.
Pembinaan bagi fasa pertama dijangka siap menjelang akhir 2027, dengan operasi dijangka bermula sejurus selepas itu.
“Kami berharap dapat menyiapkan pembinaan menjelang akhir 2027, dengan pusat data dijangka beroperasi menjelang akhir 2027 atau awal 2028,” katanya.
Puvanesan berkata syarikat itu akan mengendalikan sendiri pusat data tersebut, sementara perbincangan dengan bakal penerima sedang dijalankan.
Beliau berkata pembangunan fasa kedua projek itu akan dilakukan mengikut keperluan teknologi dan pelanggan yang semakin berkembang, dengan pengumuman lanjut akan dibuat sebaik sahaja butiran lengkap dimuktamadkan.
Projek itu merangkumi teknologi komunikasi dan maklumat teras serta keupayaan awan, selain sistem telekomunikasi ketersediaan tinggi, perkhidmatan sokongan seperti lokasi bersama, Infrastruktur-sebagai-Perkhidmatan dan Perisian-sebagai-Perkhidmatan.
-- BERNAMA