BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

LPI Capital Raih Pendapatan, Perolehan Lebih Baik Bagi Tahun Kewangan 2024

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih LPI Capital Bhd meningkat kepada RM377.09 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 berbanding RM313.73 juta pada tahun sebelumnya, terutamanya berikutan keuntungan yang lebih tinggi daripada segmen insurans am.

Perolehan bagi tahun berkenaan turut meningkat kepada RM1.93 bilion daripada RM1.91 bilion, dipacu oleh segmen pegangan pelaburan yang menyaksikan kenaikan 42.4 peratus atau RM13.3 juta kepada RM44.70 juta.

LPI Capital dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata segmen berkenaan merekodkan RM31.4 juta pada 2023,  disumbangkan oleh peningkatan pendapatan dividen yang lebih tinggi.

Sementara itu, segmen insurans am merekodkan pendapatan lebih tinggi sebanyak RM1.88 bilion pada tahun kewangan 2024 berbanding RM1.87 bilion pada 2023 berikutan pendapatan dividen dan pendapatan faedah lebih tinggi yang diterima sepanjang tahun kewangan semasa.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis 2024, LPI Capital merekodkan keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM73.86 juta berbanding RM78.58 juta tahun sebelumnya berikutan keuntungan yang lebih rendah daripada segmen insurans am.

"Segmen insurans am mencatat penurunan 6.6 peratus atau RM6.9 juta kepada RM97.6 juta berbanding RM104.5 juta pada suku keempat 2023.

"Ini terutamanya disebabkan penyusutan nilai wajar bersih RM5.4 juta berbanding keuntungan nilai wajar bersih RM10.6 juta yang dicatatkan pada suku keempat 2023," kata LPI Capital.

Perolehan bagi suku berkenaan meningkat kepada RM487.64 juta daripada RM481.35 juta pada tahun sebelumnya.

Peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh segmen insurans am, yang menokok RM6.2 juta kepada RM487.1 juta berbanding RM480.9 juta pada suku sama pada 2023, dipacu oleh perolehan insurans yang lebih tinggi.

Pada masa hadapan, LPI Capital melihat peluang yang lebih besar untuk menjual produk insurans kepada pelanggan Public Bank Bhd dan membangunkan produk yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan insurans mereka.

LPI Capital memasuki lembaran baharu apabila Public Bank menyelesaikan pengambilalihan 44.15 peratus kepentingan dalam kumpulan melalui pembelian saham pada 4 Dis 2024.

Sementara itu, menurut kumpulan ia akan terus menekankan kepada persaingan untuk perniagaan baharu, terutamanya bagi projek infrastruktur dan pelaburan asing baharu.

"Rancangan sedang dijalankan untuk terus mengautomatikkan proses dan meningkatkan saluran pengedaran kumpulan.

"Kumpulan akan terus berusaha untuk membangunkan lebih banyak penyelesaian insurans hijau yang disesuaikan kepada aset mesra alam dan berfokuskan kelestarian," katanya.

-- BERNAMA