BERITA TERKINI   APMM rekod 16,259 kes tangkapan pelbagai kesalahan, gagalkan 1,789 pencerobohan kapal nelayan asing dari 2006 -2024 - Saifuddin Nasution | Insiden tembakan di Tanjung Rhu: APMM jalankan siasatan dalaman antaranya kemungkinan pelanggaran SOP penggunaan senjata api - Saifuddin Nasution | Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub diumum Presiden baharu FAM - Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan | Pemilihan PKR: Anwar serah kepada parti untuk putuskan berkaitan pertandingan jawatan presiden, timbalan presiden | PM Anwar minta PBT segerakan proses kelulusan bagi projek berkaitan kebajikan rakyat | 

Belian Lewat Saham Perbankan Bantu Bursa Malaysia Hadkan Penurunan

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Belian lewat dalam saham perbankan selepas jualan besar-besaran dalam Celcomdigi pada awal dagangan membantu menghadkan penurunan Bursa Malaysia ditengah-tengah sentimen pasaran yang agak lemah.

Pada 5 petang tadi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan sebanyak 0.68 daripada 1,591.60 berbanding 1,592.28 ketika ditutup semalam. 

 Barometer pasaran dibuka 0.63 mata lebih tinggi pada 1,592.91 dan bergerak harian serendah pada1,587.58 dan tinggi pada 1,595.01. 

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 598 berbanding 433, manakala 445 kaunter tidak berubah, 843 tidak diniagakan dan 22 digantung. 

Jumlah dagangan berkembang kepada 3.27 bilion unit bernilai RM2.40 bilion daripada 2.56 bilion unit bernilai RM2.22 bilion yang dicatatkan semalam.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI kekal dalam mod penyatuan, walaupun mencuba banyak kali, ia bergelut untuk melepasi tahap rintangan psikologi pada paras 1,600.

“Kami percaya ini sebahagian besarnya disebabkan oleh sentimen berhati-hati pada sekitar perang tarif AS dan potensi impak ke atas pasaran," katanya lagi.

Presiden AS, Donald Trump telah  mengarahkan Setiausaha Perdagangan dan Wakil Perdagangan AS untuk mengkaji tarif timbal balik yang dicadangkan, dengan pelaksanaannya menjelang April akan datang.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pengumuman mengenai tarif timbal balik, walaupun bersifat agak kompleks, telah memberikan sedikit kelegaan berikutan kekhuatiran pasaran ke atas reaksi serta-merta.

“Bagaimanapun, potensi tarif yang lebih tinggi terhadap rakan dagangan utama terutamanya Kesatuan Eropah, menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan ketegangan perdagangan," katanya.

Di pasaran tempatan, pelabur mengambil keuntungan dari saham-saham telekomunikasi susulan prestasi kewangan dan operasi mereka yang mantap.

“Pengambilan keuntungan selepas keputusan adalah perkara biasa terutamanya dalam persekitaran semasa, yang mana pasaran sedang berhati-hati serta sensitif terhadap dasar perdagangan AS, peningkatan data inflasi dan landskap kadar faedah yang tinggi.

“Pelabur sedang berusaha mengunci keuntungan di tengah-tengah ketidakpastian,” katanya lagi.

Di kalangan kaunter wajaran tinggi, Celcomdigi menerajui kerugian apabila jatuh 33 sen kepada RM3.54, manakala Petronas Chemicals merosot sembilan sen kepada RM4.01 dan 99 Speed ​​Mart susut enam sen kepada RM2.14.

Sebaliknya, Public Bank untung empat sen kepada RM4.49, IHH Healthcare adalah enam sen lebih tinggi pada RM7.27, Sunway naik lapan sen kepada RM4.70 dan CIMB menokok tujuh sen kepada RM8.35.

Dialog menerajui kaunter aktif, menurun 24 sen kepada RM1.57, manakala Velesto Energy serta EA Holdings, masing-masing kekal pada 18.5 sen dan setengah sen.

Harvest Miracle melonjak setengah sen kepada 15 sen dan Notion VTEC jatuh sebanyak 23 sen kepada 92 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM EMAS merosot 20.53 mata kepada 12,106.61, Indeks FBMT 100 adalah 15.42 mata lebih rendah pada 11,813.95 dan Indeks FBM Emas Shariah lemah 85.58 mata kepada 11,847.51.

Indeks FBM 70 menyusut 64.12 mata kepada 17,871.23 dan Indeks FBM ACE mengecil 84.46 mata kepada 5,134.78.

Secara sektoral, Indeks Perkhidmatan Kewangan memperoleh 97.40 mata kepada 19,342.64, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menurun 0.18 mata kepada 163.99, Indeks Perladangan merosot 26.73 mata kepada 7,454.92 dan Indeks Tenaga agak tidak bermaya sebanyak 19.81 mata kepada 798.55.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama bertambah kepada 1.50 bilion unit bernilai RM2.10 bilion berbanding 1.79 bilion unit bernilai RM2.39 bilion yang dicatatkan semalam.

Volum waran naik kepada 1.21 bilion unit bernilai RM123.59 juta daripada 870.64 juta unit bernilai RM101.43 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE berkembang kepada 555.34 juta unit bernilai RM179.51 juta berbanding 487.90 juta unit bernilai RM173.12 juta semalam.

Kaunter Produk dan Perkhidmatan Pengguna menyumbang 267.33 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, Produk dan Perkhidmatan Perindustrian (246.78 juta), Pembinaan (93.87 juta), Teknologi (179.94 juta), SPAC (sifar), Perkhidmatan Kewangan (44.46 juta), Hartanah (117.94 juta), Perladangan (17.76 juta), REIT (12.31 juta), Dana Tertutup (18,100), Tenaga (385.81 juta), Penjagaan Kesihatan (49.66 juta), Telekomunikasi dan Media (27.78 juta) ), Utiliti (45.96 juta) serta Amanah Perniagaan (361,100). 

-- BERNAMA