Penyertaan Kontinjen Malaysia Ke Gulfood 2025 Mampu Lonjak Eksport F&B - MATRADE
KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan menerajui 90 syarikat tempatan dan empat agensi kerajaan ke Gulfood 2025, yang diadakan mulai 17-21 Februari di Pusat Perdagangan Dunia Dubai.
MATRADE melalui satu kenyataan hari ini berkata langkah itu menekan usaha Malaysia dalam memperluaskan eksport makanan dan minuman (F&B) selain mengukuhkan kehadirannya di pasaran halal global.
Gulfood yang merupakan pameran perdagangan F&B tahun terbesar di dunia, menyediakan platform bagi perniagaan Malaysia untuk berhubung dengan pembeli antarabangsa, menubuhkan perkongsian strategik serta mempamerkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi.
Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata penyertaan syarikat-syarikat tempatan dalam acara itu akan membantu mengembangkan jangkauan mereka dan menyumbang kepada sasaran eksport negara.
Eksport makanan diproses Malaysia ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) terus berkembangkan pada 2024, meningkat sebanyak 3.8 peratus dari tahun ke tahun kepada RM2.32 bilion berbanding RM2.23 bilion pada 2023 .
Emiryah Arab Bersatu (UAE) kekal sebagai destinasi eksport utama Malaysia di rantau ini, menyumbang 33.3 peratus daripada jumlah eksport MENA.
Eksport ke UAE melonjak 37.3 peratus dari tahun ke tahun kepada RM773.2 juta pada 2024 daripada RM563.3 juta yang dicatatkan semasa tahun sebelumnya.
“Kenaikan trend serta peranan UAE sebagai hab strategik menyerlahkan permintaan global yang semakin meningkat untuk makanan Malaysia yang diproses dan kedudukan kami yang lebih kukuh dalam pasaran F&B antarabangsa,” katanya.
“Kami yakin penyertaan dalam Gulfood 2025 akan melonjakkan kehadiran F&B Malaysia di peringkat global dan memacu pertumbuhan dalam sektor penting ini,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata acara itu menawarkan akses untuk pempamer Malaysia kepada pembuat keputusan utama dan rakan kongsi yang berpotensi.
“Dengan sokongan MATRADE yang disampaikan melalui program pemadanan perniagaan yang disesuaikan dan taklimat mengenai penyelidikan pasaran, syarikat-syarikat ini akan dapat memaksimumkan pendedahan mereka, membina hubungan strategik dan mencapai pertumbuhan eksport yang signifikan,” katanya.
Peserta pameran Malaysia akan menampilkan pelbagai produk F&B mereka seperti sos dan pasta, rempah dan bumbu, makanan beku, makanan siap sedia dimakan, makanan ringan, minuman, produk tenusu, produk halal serta produk organik.
MATRADE menambah bahawa penyertaan empat agensi kerajaan bertujuan menyediakan sumber serta kepakaran yang berharga kepada pengeksport Malaysia, memudahkan akses mereka ke pasaran antarabangsa dan memastikan pematuhan peraturan yang berkaitan.
-- BERNAMA