BERITA TERKINI   Mahkamah Rayuan Singapura benarkan penggantungan pelaksanaan hukuman mati ke atas Pannir Selvam | 

Logistik Halal: Peluang Berharga Bagi Malaysia

Oleh Harizah Hanim Mohamed

 

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) – Malaysia perlu meneraju pembangunan ekosistem logistik halal yang komprehensif dengan menyegerakan penubuhan piawaian persendirian pertama global dalam logistik.

Ketua Pegawai Eksekutif LBB International Marco Tieman berkata terdapat keperluan mendesak untuk menyelaraskan piawaian logistik halal dalam industri pelabuhan dan perkapalan, memandangkan kekurangan protokol halal yang diseragamkan bagi pengangkutan laut walaupun penggunaan global kod Harmonised System (HS) untuk mengklasifikasikan barangan.

Justeru, Malaysia perlu memanfaatkan pengalaman luasnya dalam pensijilan halal untuk menerajui inisiatif ini, kata beliau kepada Bernama menerusi satu temu bual eksklusif.

Dengan cara ini, katanya, negara boleh memanfaatkan pasaran halal global yang luas -- yang dijangka bernilai US$5 trilion menjelang 2030 -- dan mengukuhkan kedudukan penerajuannya dalam pengeluaran, penyimpanan dan eksport produk halal di seluruh dunia.

Selain itu, sektor e-dagang yang sedang berkembang pesat seharusnya menjadi batu loncatan bagi negara untuk menerajui pembangunan ekosistem logistik halal yang komprehensif dan menetapkan piawaian persendirian global.

Tieman berkata pasaran halal global menjanjikan peluang besar kepada pemain untuk memajukan ekosistem halal.

Menurut sumber industri perkapalan, piawaian persendirian global boleh berfungsi sebagai panduan untuk mengendalikan konsainan produk halal - dari saat ketibaan di pelabuhan hingga ke penyimpanan gudang dan peringkat penghantaran akhir.

Beliau berkata Malaysia perlu mendorong kemajuan dalam logistik kerana eksport halalnya sahaja bernilai RM54 bilion pada 2023, menunjukkan peranan penting negara dalam sektor yang semakin meningkat itu. 

Bagaimanapun, Tieman mengakui pembangunan ekosistem logistik halal boleh menjadi suatu yang mencabar.

“Penting untuk mengetengahkan pengiktirafan barangan halal yang diangkut melalui laut, kerana sistem Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) tidak mempunyai klasifikasi untuk produk halal.

“Begitu juga dengan kod kastam HS, yang mengkategorikan pelbagai produk tetapi tidak mempunyai kategori khusus untuk barangan halal,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada IMO, Malaysia harus mencadangkan agar organisasi itu mempunyai kod halal tertentu sambil menerajui eksport halal, katanya.

Bagi tujuan ini, Malaysia harus menyokong penubuhan jawatankuasa untuk membangunkan kod halal, ditandatangani bersama dan disokong oleh negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang lain.

"Sebagai peneraju global dalam piawaian rantaian bekalan halal, adalah logik untuk Malaysia menerajui inisiatif ini,” katanya.

Malaysia perlu bergerak melangkaui pelabelan halal makanan dan produk pengguna semata-mata dan berusaha untuk memajukan pensijilan kontena penghantaran diperakui halal di seluruh dunia.

Pada masa yang sama, proses halal yang ketat boleh dimodenkan dan didigitalkan serta diselaraskan dengan inisiatif sebelum ini dalam membangunkan industri, seperti pembangunan taman perindustrian Halal.

 

Logistik, Pensijilan Halal dan JAKIM

Malaysia, melalui Jabatan Standard Malaysia, telah membangunkan piawaiannya sendiri iaitu Malaysian Standard (MS) bagi makanan halal, yang berfungsi sebagai garis panduan untuk penyediaan, pengendalian, dan penyimpanan makanan halal.

Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata penubuhan MS Halal Standard bagi logistik dianggap penting oleh JAKIM untuk mengekalkan integriti halal di seluruh rantaian bekalan, yang merangkumi aktiviti pengangkutan, pergudangan dan peruncitan.

“Objektifnya adalah untuk memastikan pematuhan halal yang menyeluruh, mencegah pencemaran dan meningkatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap pensijilan halal Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai prospek MS Halal Standard, beliau berkata JAKIM menyasar untuk merapatkan jurang dalam logistik antarabangsa dengan menetapkan kriteria pematuhan halal khusus untuk bidang seperti pengangkutan laut dan pengendalian kontena.

“Standard ini dibangunkan selaras dengan piawaian antarabangsa, dan ia disokong oleh pelaksanaan Prosedur Manual Pensijilan Halal Malaysia dan Sistem Pengurusan Halal.

“Ia memastikan rangka kerja teguh yang mendukung prinsip Syariah, menangani pencemaran dan meningkatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap pensijilan halal Malaysia,” katanya.

Sirajuddin berkata JAKIM aktif meneraju dan mengambil bahagian dalam inisiatif untuk menyokong piawaian logistik halal global dalam badan antarabangsa seperti Standards and Metrology Institute for Islamic Countries.

“Sebagai ahli Jawatankuasa Teknikal dan Kumpulan Kerja, JAKIM memainkan peranan penting dalam membangunkan dan menggalakkan piawaian logistik halal di peringkat antarabangsa.

“Usaha ini bertujuan untuk menyelaraskan amalan logistik halal rentas sempadan.

"Melalui inisiatif ini, JAKIM berusaha untuk meningkatkan pengiktirafan global terhadap standard halal, mengukuhkan penerajuan Malaysia dalam logistik halal dan memupuk kerjasama dalam kalangan negara anggota OIC dan pihak berkepentingan antarabangsa yang lain,” katanya.

Ada beberapa pelabuhan di dunia yang telah mengambil inisiatif untuk memastikan pensijilan halal, tetapi pendekatan mereaka berbeza kerana tiada penanda aras atau penyeragaman.

Pelabuhan Rotterdam di Belanda menawarkan kemudahan penyimpanan sejuk diperakui halal yang dikendalikan oleh Eufrigo -- syarikat perkhidmatan logistik untuk produk makanan terkawal suhu, produk separuh siap dan bahan mentah.

Pelabuhan Zeebrugge di Belgium pula diperakui oleh Halal Food Council of Europe, manakala Spanish Docks Logistics telah menerima pensijilan halal untuk kemudahan yang diuruskannya di pelabuhan Algeciras, Sepanyol.

Di negara kita, Pelabuhan Northport dan Pulau Pinang telah menyediakan kemudahan gudang khusus diperakui halal untuk penyimpanan kargo halal, manakala Lembaga Pelabuhan Johor menetapkan garis panduan rantaian bekalan pelabuhan halal yang komprehensif pada 2020 untuk terminal pelabuhan dan jetinya.

Manakala Konsortium Pelabuhan Kuantan sedang membangunkan hab halal untuk Pantai Timur, memudahkan perdagangan halal dengan China, Vietnam, Thailand, Indonesia, Sabah dan Sarawak dan Timur Tengah.

Di Indonesia, Multi Terminal Indonesia telah menyediakan gudang diperakui halal khusus di Tanjung Priok, pintu masuk maritim utama negara itu menumpukan semata-mata pada pergudangan dan bukannya operasi terminal pelabuhan penuh.

Di Malaysia, firma perkapalan CMA CGM melancarkan perkhidmatan kontena halal, menawarkan kontena yang disamak untuk industri halal.

Walaupun dijenamakan sebagai perkhidmatan CMA CGM, CMA CGM telah menyalurkan sepenuhnya perkhidmatan ini kepada pengendali depoh kontena di Malaysia.

 

JAKIM dan pendigitalan

Sirajuddin berkata untuk menjadi peneraju global dalam logistik halal, Malaysia berdepan cabaran seperti menyelaraskan piawaian global, membina infrastruktur patuh halal dan memastikan amalan halal yang konsisten di seluruh dunia.

Cabaran lain termasuk meningkatkan kesedaran, menggunakan teknologi seperti blockchain dan meningkatkan kerjasama dalam kalangan pemegang taruh.

“Untuk menangani isu ini, Malaysia memerlukan pelaburan, perkongsian antarabangsa dan promosi kukuh logistik halal,” katanya.

Beliau mengakui bahawa pendigitalan membantu JAKIM memodenkan pensijilan halal untuk logistik dengan meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kebolehjejakan.

“Dengan menggunakan alat seperti blockchain dan platform dalam talian, JAKIM boleh menyelaraskan proses pensijilan, menjejaki pergerakan produk halal dalam masa nyata dan memastikan pematuhan merentas rantaian bekalan, menyokong penerajuan Malaysia dalam logistik halal,” katanya.

-- BERNAMA