BERITA TERKINI   PAC akan mulakan prosiding tertutup dengan MOF, KKM dan BNM pada 24 Feb berhubung kenaikan premium insurans dan caj hospital swasta - Teresa Kok | PAC dijangka bentang laporan isu peningkatan premium insurans kesihatan, caj hospital swasta di Dewan Rakyat seawal Jun 2025 - Sim Tze Tzin | Untung bersih MISC Bhd susut kepada RM1.19 bilion pada tahun kewangan 2024 daripada RM2.12 bilion pada tahun kewangan 2023 | Situasi kusta di Kuala Pilah terkawal, pesakit tidak perlu diasingkan kerana terdapat rawatan berkesan - KKM | 

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Sentimen Berhati-hati

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia menyusut daripada kenaikan sederhana semalam untuk ditutup rendah sedikit hari ini dengan lebih separuh daripada komponen indeks utama mencatatkan penurunan.

Ini berikutan sentimen pelabur yang masih tidak menentu sementara menunggu minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan lewat malam ini, kata penganalisis. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.96 mata, atau 0.25 peratus, kepada 1,580.88 berbanding paras 1,584.84 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 1.62 mata kepada 1,583.22 dan bergerak antara paras 1,578.89 dan 1,583.75 sepanjang hari dagangan.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 749 berbanding 265 manakala 481 kaunter tidak berubah, 830 tidak diniagakan dan 10 digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 3.42 bilion unit bernilai RM2.65 bilion daripada 3.61 bilion unit bernilai RM2.64 bilion pada Rabu.  

Ketua penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata prestasi lemah itu kebanyakannya disebabkan oleh penurunan saham wajaran tinggi berkaitan pengguna.  

"Sentimen pelabur terus berhati-hati dengan harapan mendapat hala tuju kadar faedah AS yang lebih jelas pada masa depan.

"Kami menjangkakan situasi turun naik ini akan berterusan berikutan keadaan tidak menentu luaran terutamanya berkaitan kenaikan tarif oleh AS," katanya kepada Bernama.

Di pasaran tempatan, Leong berkata pengumuman pendapatan korporat akan terus diberi tumpuan utama oleh pelabur di samping data inflasi Malaysia serta data sentimen pengguna AS yang akan diumumkan pada Jumaat ini.

“Secara teknikalnya, FBM KLCI berada dalam trend menurun apabila indeks utama menyusut di bawah daripada paras psikologi 1,600.

"Paras rintangan terdekat berada pada 1,600 mata, dan paras sokongan pada 1,570 mata," katanya.

Sementara itu, ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata sentimen berhati-hati dalam pasaran Malaysia mencerminkan keseluruhan arah aliran serantau.

“Pasaran Asia ditutup bercampur-campur, susulan rekod tertinggi dalam S&P 500 dan ekuiti Eropah. Di sebalik pengukuhan ini, pelabur masih bimbang dengan ancaman tarif terkini Presiden AS Donald Trump, yang menyasarkan sektor utama termasuk automotif, semikonduktor dan farmaseutikal,” katanya.

Di peringkat serantau, Nikkei 225 Jepun susut 0.27 peratus kepada 39,164.61, Hang Seng Hong Kong turun 0.14 peratus kepada 2,671.52, manakala Indeks Straits Times Singapura naik 0.22 peratus kepada 3,934.04, Indeks Shanghai Composite China meningkat 0.81 peratus kepada 3,351.54 dan Kospi Korea Selatan melonjak 1.70 peratus kepada 2,671.52. 

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut empat sen kepada RM10.50, CIMB turun 11 sen kepada RM8.29, Tenaga Nasional berkurangan lapan sen kepada RM13.86, IHH Healthcare jatuh tujuh sen kepada RM7.21 manakala Public Bank naik empat sen kepada RM4.54.

Dalam kalangan kaunter cergas, Hartalega susut 17 sen kepada RM2.44, Top Glove dan MYEG  turun tiga sen masing-masing kepada 97 sen dan RM1.00, Ingenieur Gudang jatuh setengah sen kepada 5.5 sen, dan Kossan Rubber menyusut enam sen kepada RM1.91.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menyusut 61.21 mata kepada 11,943.01, Indeks FBMT 100 turun 50.54 mata kepada 11,665.80 dan Indeks FBM Emas Shariah merosot 74.29 mata kepada 11,622.04.

Indeks FBM 70 berkurangan 159.61 mata kepada 17,377.57 dan Indeks FBM ACE susut 67.33 mata kepada 5,007.16.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 27.93 mata kepada 19,346.15, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.05 mata kepada 162.05, Indeks Perladangan jatuh 7.68 mata kepada 7,422.40 dan Indeks Tenaga berkurangan 6.25 mata kepada 785.53.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.99 bilion unit bernilai RM2.39 bilion daripada 1.53 bilion unit bernilai RM2.30 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran susut kepada 978.73 juta unit bernilai RM102.18 juta daripada 1.29 bilion unit bernilai RM124.48 juta sebelumnya. 

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 449.68 juta unit bernilai RM151.94 juta daripada 783.65 juta unit bernilai RM218.96 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 217.33 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (659.42 juta), pembinaan (92.45 juta), teknologi (214.98 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (59.63 juta), hartanah (162.45 juta), perladangan (26.88 juta), REITs (18.10 juta), dana tertutup (32,800), tenaga (148.78 juta), penjagaan kesihatan (306.38 juta), telekomunikasi dan media (32.03 juta), pengangkutan dan logistik (26.47 juta), utiliti (26.13 juta), dan amanah perniagaan (262,600).

-- BERNAMA