BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

Kerajaan Johor Rangka Pelan Induk Bagi JS-SEZ - Onn Hafiz

ISKANDAR PUTERI, 19 Feb (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor ketika ini sedang merangka pelan induk bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelan induk itu membabitkan beberapa agensi utama seperti Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan akan menggariskan pelan kerajaan bagi membangunkan JS-SEZ untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

“Kami sedang merangka Pelan Induk JS-SEZ dan dijangka memuktamadkannya pada Jun,” katanya ketika sesi sembang santai pada persidangan Misi Perniagaan Persekutuan Perniagaan Singapura di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia Ng Wei Wei bertindak sebagai moderator sesi tersebut.

Mengulas mengenai cara dana pembangunan infrastruktur sebanyak RM5 bilion yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi JS-SEZ akan dibelanjakan, Onn Hafiz berkata: “Dana RM5 bilion itu akan dimasukkan ke dalam pelan induk itu.

“Ia tidak akan digunakan secara ad hoc atau tanpa perancangan awal, kami perlu menyusun strategi bagi memastikan dana itu digunakan dengan sebaik-baiknya”.

Beliau turut menyentuh beberapa perkara lain seperti infrastruktur awam, tarikan pelancongan, jalan raya dan pengangkutan awam, serta rancangan kerajaan bagi menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan untuk melabur, bekerja, tinggal dan bermain.

Selain itu, katanya, projek sistem Transit Aliran Autonomi (ART) bertingkat yang boleh membantu mengatasi masalah trafik di kawasan bandar bakal dimuktamadkan menjelang Mac.

“Saya akan mempengerusikan mesyuarat dengan Unit Perkongsian Awam Swasta (UKAS) dan Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan akan mengemukakan permohonan cadangan (RFP) bagi projek ART bertingkat itu selepas kementerian membentangkan cadangan projek tersebut kepada Kabinet pada Disember.

Selepas itu, Kabinet akan memutuskan sama ada RFP akan dikemukakan oleh UKAS.

-- BERNAMA