BERITA TERKINI   Amalkan politik matang, jangan main isu gugat perpaduan, titah Tengku Hassanal | KPKM kurangkan kebergantungan import jagung, soya, beras dan bawang susulan ketidaktentuan geopolitik global - Mohamad | Malaysia sokong mempercepat pelaksanaan Rangka Kerja Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN - PM Anwar | ASEAN terus menggesa kepada keamanan dan usaha meredakan ketegangan, namun perlu bersikap realistik - PM Anwar | PM Anwar cadang pelan keterjaminan makanan serantau sebagai persediaan semasa krisis | 

Malaysia Catat 3.1 Peratus Pertumbuhan Perdagangan Pada Januari - MITI

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-13 bulan berturut-turut, meningkat 3.1 peratus kepada RM241.95 bilion berbanding Januari 2024, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.

Menurut MITI, eksport mengembang empat bulan berturut-turut, meningkat 0.3 peratus kepada RM122.79 bilion, manakala import naik 6.2 peratus kepada RM119.16 bilion.

Katanya, ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM3.63 bilion, merupakan lebihan dagangan yang ke-57 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.

“Prestasi eksport pada Januari 2025 disokong oleh pertumbuhan kukuh sektor utama, khususnya perkilangan dan pertanian.

“Tahun ini bermula dengan prestasi bulanan yang memberangsangkan dalam eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang mencatatkan kenaikan hampir RM7 bilion,” kata MITI dalam satu kenyataan hari ini. 

Selain itu, barangan lain yang turut mencatatkan pertumbuhan eksport termasuk minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan.

Dari segi pasaran, MITI berkata eksport ke Amerika Syarikat dan Taiwan merekodkan pertumbuhan dua digit pada Januari 2025, disokong oleh kenaikan permintaan bagi barangan E&E khususnya peranti semikonduktor dan litar bersepadu elektronik.

Berikutan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh pada 2024, MITI berkata kementerian itu dan MATRADE akan terus komited untuk memacu pertumbuhan eksport dengan mengukuhkan hubungan dengan rakan dagang utama.

Selain itu, katanya, MITI dan MATRADE akan terus meneroka pasaran baharu dan memberi sokongan yang diperlukan oleh pengeksport Malaysia untuk mengekalkan daya tahan dan kejayaan jangka panjang yang mampan.

-- BERNAMA