IATA Beri Kelulusan Kepada MAG Perakui Kursus DGR
KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Pusat Latihan dan Penilaian Berasaskan Kompetensi (CBTA) Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memberi akreditasi dan kelulusan kepada cabang latihan Malaysia Aviation Group (MAG), MAB Academy untuk memperakui kursus Peraturan Barangan Berbahaya (DGR).
Dalam kenyataan hari ini, katanya pensijilan ini memperkukuh reputasinya sebagai penyedia latihan penerbangan yang dipercayai, melengkapkan kalangan profesional dengan ilmu dan kemahiran untuk mengendalikan barang berbahaya dengan mematuhi piawaian keselamatan antarabangsa.
“Dengan pensijilan ini, MAB Academy akan disenaraikan di bawah Pendaftaran Syarikat Bertauliah Pusat IATA CBTA dan dipaparkan dalam Manual DGR IATA yang akan datang, Edisi ke-67 (2026), berserta edisi akan datang -- rujukan utama bagi sektor penerbangan.
"Langkah ini juga memperkukuh MAB Academy sebagai pilihan utama bagi penghantar fret udara dan profesional penerbangan yang inginkan latihan yang diiktiraf IATA," katanya.
Ketua Pegawai Operasi MAB Academy Aida Salfaraz Ahmad Fadzil berkata kelulusan ini meningkatkan kredibilitinya sebagai penyedia latihan yang dipercayai dan membolehkannya melengkapkan profesional industri dengan standard kecekapan tertinggi dalam mengendalikan barang berbahaya.
"Seiring dengan inovasi kami dalam teknologi seperti realiti terimbuh (XR), kami berbangga untuk menetapkan penanda aras baharu dalam latihan penerbangan dan menyumbang kepada kesiapsiagaan masa depan industri," katanya.
Timbalan Presiden Wilayah IATA bagi Asia Utara dan Asia Pasifik Xie Xingquan berkata, dengan menerima pakai pendekatan latihan berasaskan kecekapan, Malaysia Airlines -- antara portfolio perniagaan syarikat penerbangan MAG bersama-sama Firefly dan MASwings -- sedang mempertingkat keselamatan operasi dan menambah baik kecekapan, prestasi dan pembelajaran yang berterusan dalam kalangan tenaga kerjanya.
Beliau berkata pencapaian ini menekankan dedikasi mereka terhadap latihan penerbangan yang berkualiti tinggi dan penambahbaikan yang berterusan, meletakkan penanda aras kepada industri dalam meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan pematuhan peraturan.
Menurut MAB Academy, sebagai antara usaha yang berterusan untuk meningkatkan latihan penerbangan, akademi itu sedang mengintegrasikan XR dalam kursus DGR CBTA sekali gus menawarkan pengalaman pembelajaran yang interaktif.
Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pemahaman dan memperkuat konsep utama menerusi teknologi termaju.
-- BERNAMA