Ringgit Kekal Kukuh Pada 3.97 Berbanding Dolar AS Pada Sesi Pembukaan
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Ringgit kekal kukuh pada paras 3.97 berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada sesi pembukaan pada Khamis, disokong oleh keyakinan pasaran yang meningkat susulan pelan gencatan senjata selama dua minggu.
Ini mendorong sentimen melabur dalam aset lebih berisiko tetapi berpotensi memberi pulangan lebih tinggi.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9730/9915 berbanding dolar AS daripada 3.9735/9785 pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) terus berada di bawah paras 100, pada 99.013 pagi ini, mencatatkan penurunan sebanyak 0.85 peratus.
Semalam, ringgit ditutup tinggi sebanyak 1.33 peratus kepada 3.9735.
Bagaimanapun, katanya keadaan masih tidak stabil berikutan sebarang pelanggaran pelan gencatan senjata boleh menjejaskan sentimen pasaran dan berpotensi mendorong lonjakan harga minyak mentah secara mendadak.
“Hari ini, USD/MYR dijangka kekal dalam jajaran kecil berikutan peniaga dan pelabur terus memantau tahap pematuhan terhadap perjanjian gencatan senjata,” katanya kepada Bernama.
Pada sesi pembukaan, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5041/5159 daripada 2.5071/5104 pada Rabu, meningkat berbanding euro kepada 4.6317/6533 daripada 4.6407/6465 dan naik berbanding pound kepada 5.3202/3450 daripada 5.3348/3415.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1168/1316 daripada 3.1155/1199 semalam, bagaimanapun meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3769/4427 daripada 12.4056/4282.
Ringgit hampir mendatar berbanding peso Filipina kepada 6.68/6.72 daripada 6.68/6.70 manakala berubah sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 233.5/234.7 daripada 233.5/233.9 sebelum ini.
-- BERNAMA