BERITA TERKINI   Malaysia, Australia setuju perkukuh kerjasama teknikal antara Petronas dan pihak berkaitan Australia bagi pastikan kestabilan bekalan tenaga - PM Anwar | Malaysia kekal teguh pendirian terhadap Palestin, hargai sokongan Australia terhadap bantuan kemanusiaan serta usaha penyelesaian secara aman - PM Anwar | Bank Rakyat umum bayar dividen 18 peratus berjumlah RM534.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 | Golden Destinations yang baru disenaraikan di Pasaran ACE, dibuka pada 49 sen iaitu premium empat sen daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) dengan 15 juta saham diniagakan  | 

Kerajaan Persekutuan, Sabah Perkukuh Kerjasama Pelancongan

LABUAN, 25 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mengesahkan komitmen masing-masing untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pelancongan bagi memacu pertumbuhan ekonomi di kedua-dua wilayah itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata beliau sudah mengadakan perbincangan berhubung isu pelancongan dan ekonomi Labuan dan Sabah dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor di pejabatnya di Kota Kinabalu pada Isnin.

“Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Kerajaan Negeri Sabah bersetuju bahawa penganjuran acara peringkat antarabangsa akan menarik lebih ramai pengunjung dan mengukuhkan industri pelancongan di wilayah itu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah JWP Datuk Noridah Abdul Rahim, Pengerusi Perbadanan Labuan (LC) Tan Sri Anifah Aman, Ketua Pegawai Eksekutif LC Mohd Sukuran Taib dan pegawai JWP lain.

Zaliha berkata beliau turut memberikan taklimat kepada Hajiji mengenai acara pelancongan penting yang bakal diadakan, termasuk Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) pada April 2025 dan Festival Flora Borneo pada Julai 2025, kedua-duanya dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung.

“Kesemua acara ini menyasar untuk menjana aktiviti ekonomi tempatan dan mewujudkan peluang baharu bagi usahawan dan pemain pelancongan di Labuan dan Sabah,” katanya.

Katanya, perbincangan turut membabitkan projek Jambatan Labuan-Menumbok yang dijangka meningkatkan kebolehcapaian dan integrasi ekonomi antara Labuan dan Sabah.

“Lawatan ini adalah sejajar dengan komitmen Kerajaan MADANI untuk menjadikan Labuan lebih kompetitif dan mampan sebagai hub ekonomi,” katanya.

Selain itu, Zaliha berkata JWP akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Sabah bagi memastikan kejayaan pelaksanaan inisiatif ekonomi dan pelancongan bagi faedah rakyat dan kemakmuran Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA