BERITA TERKINI   Untung bersih SP Setia Bhd merosot kepada RM509.96 juta pada TK2025 daripada RM575.95 juta pada TK2024 | Petronas jangka purata harga minyak mentah Brent antara US$65-US$70 setong dalam tempoh lima tahun akan datangĀ - Presiden dan CEO Kumpulan Petronas | Siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang campur tangan- Jabatan Peguam Negara | Petronas menyasar untuk mengembangkan perniagaan huluan di peringkat antarabangsa sebanyak 60 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang - Ketua Pegawai OperasiĀ  | Jabatan Peguam Negara pandang serius dakwaan wujudnya cubaan menjatuhkan Kerajaan serta menganggu kestabilan negara | 

Untung Bersih Press Metal Melonjak Kepada RM1.76 Bilion, Raih Patami Tertinggi

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Press Metal Aluminium Holdings Bhd (Press Metal) bagi tahun kewangan 2024 (TK2024) berakhir pada 31 Dis, 2024, meningkat kepada RM1.76 bilion daripada RM1.22 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Pencapaian itu memaparkan prestasi kewangan kukuh yang diraih oleh segmen peleburan dan penapisannya selain sumbangan lebih tinggi daripada syarikat sekutu, kata syarikat pelebur aluminium terbesar di Asia Tenggara itu menerusi kenyataannya kepada Bursa Malaysia.

Perolehan hasil bagi tahun itu turut melonjak kepada RM14.91 bilion daripada RM13.81 bilion sebelumnya.

Bagi tempoh suku keempat TK2024, keuntungan bersih menokok kepada RM445.27 juta daripada RM321.39 juta dalam tempoh sama setahun sebelumnya manakala perolehan hasil meningkat kepada RM3.56 bilion daripada RM3.53 bilion sebelum ini.

Press Metal berkata prestasi kewangannya bagi tahun itu juga menyaksikan perolehan hasil dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) tertinggi setakat ini dengan hasil mencecah RM14.91 bilion manakala PATAMI melonjak 45 peratus kepada RM1.76 bilion.

Mengulas pengumuman pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif 25 peratus ke atas import aluminium, syarikat itu berkata tindakan itu mencetuskan reaksi awal pasaran, termasuk peningkatan harga logam itu.

“Masih terlalu awal untuk menentukan kesan jangka panjang terhadap aliran logam global dan harga serantau kerana pasaran masih menunggu butiran yang lebih jelas.

“Bagaimanapun, pendedahan langsung kami ke atas pasaran AS kekal minimum. Pada masa sama, kami melihat semakin besar peluang untuk pengeluar aluminium rendah karbon di Asia Tenggara, sebahagian besarnya didorong oleh penyumberan alternatif serta pemindahan atau penempatan semula kemudahan pembuatan ke rantau ini," katanya.

Secara keseluruhannya, Press Metal berkata pasaran aluminium kekal seimbang, disokong oleh peningkatan pelaburan dalam sektor tenaga bersih, termasuk tenaga boleh baharu, kenderaan elektrik, infrastruktur grid dan simpanan bateri selain penggunaan tradisional.

Syarikat itu telah mengumumkan dividen interim satu peringkat keempat sebanyak 1.75 sen bagi sesaham biasa berjumlah kira-kira RM144.20 juta bagi TK2024 yang dibayar pada 28 Mac, 2025.

-- BERNAMA