BERITA TERKINI   Kerajaan kekal pertahankan harga RON95 melalui BUDI95 meskipun tekanan kewangan semakin membebankan - PM Anwar | Enam kapal Malaysia selamat melalui Selat Hormuz, pastikan bekalan minyak terkawal bagi April dan Mei ini - PM Anwar | Bekalan ubat stabil hingga Jun hasil simpanan stok kerajaan, industri - Dzulkefly | Manipulasi korporat: Siasatan setakat ini mendapati tiada penglibatan SPRM - Ketua Polis Negara | Manipulasi korporat: PDRM akan mohon kerjasama pihak berkuasa negara luar kesan saksi sekiranya perlu - Ketua Polis Negara | 

Pengeluaran Getah Asli Negara Catat 386,512 Tan Pada 2024

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Pengeluaran getah asli negara mencatatkan sebanyak 386,512 tan pada 2024, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Chan Foong Hin.

Beliau berkata daripada jumlah itu, pengeluaran getah kering sebanyak 367,238 tan manakala pengeluaran lateks sebanyak 19,274 tan pada tahun yang sama.

“Bagi penggunaan industri hiliran tempatan dan pasaran eksport getah asli mencatatkan sebanyak 1,056,562 tan manakala penggunaan hiliran tempatan sebanyak 215,816 tan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai sasaran peningkatan pengeluaran lateks setiap tahun dan tahun-tahun seterusnya.

Menjawab soalan asal beliau mengenai tempoh untuk memastikan semua getah asli keluaran Malaysia memperoleh sijil Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR), katanya Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyasarkan 115,000 pekebun kecil getah dan lebih 300 estet di Semenanjung Malaysia menjalani pemeriksaan pematuhan MSNR sepenuhnya sebelum 30 Dis 2025.

“Sebagai persediaan, bermula 1 Julai 2024, LGM telah giat menjalankan pemeriksaan pematuhan MSNR terhadap pekebun kecil getah dan pemegang lesen LGM melalui kaedah bancian bersemuka serta pengumpulan maklumat lokasi kebun dan premis,” katanya.

Menurut Chan, langkah ini adalah selari dengan pelaksanaan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang akan mula berkuat kuasa pada tarikh yang sama.

-- BERNAMA