BERITA TERKINI   Seramai 75,196 ahli KWSP terima insentif kerajaan berjumlah RM11.4 juta di bawah skim program i-Suri pada 2024 - Amir Hamzah | Jumlah keseluruhan caruman i-Saraan KWSP diterima adalah RM2.6 bilion pada 2024 - Amir Hamzah | Intel Corporation lantik anak kelahiran Malaysia, Lip-Bu Tan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 18 Mac depan | Suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan gas strategik untuk ekonomi negara - PM Anwar | Proses audit dan ketekunan wajar tambahan akan dilaksanakan sebagai prasyarat dalam memuktamadkan penstrukturan semula dan suntikan modal RM1.1 billion SEB - PM Anwar | 

Pelantikan Kenneth Vun Sebagai Pengarah Urusan Menandakan Fasa Transformasi XOX

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- XOX Bhd melantik Datuk Kenneth Vun sebagai Pengarah Urusan yang baharu, menandakan era baharu pertumbuhan dan inovasi.

Syarikat itu berkata pelantikan Vun menekankan komitmen XOX untuk merintis ekonomi digital baharu yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Dengan rekod prestasi yang terbukti dalam transformasi perniagaan, teknologi terkini, dan strategi pelaburan, kepimpinan beliau akan mengukuhkan kedudukan pasaran XOX, mengembangkan jangkauan globalnya, dan memperkasakan rakyat Malaysia untuk berkembang maju dalam era digital," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan pengalaman lebih dari 30 tahun, Vun mengasaskan syarikat teknologi dan maklumat pertamanya di Sabah sebelum mengembangkan operasi ke seluruh Malaysia, Singapura, Hong Kong, dan China.

"Beliau telah menerajui perniagaan merentas pelbagai industri, termasuk teknologi, kewangan, pembangunan hartanah, dan makanan dan minuman (F&B)," kata syarikat berkenaan.

XOX berkata ia sedang memasuki fasa transformasi dengan pelantikan Vun sebagai Pengarah Urusan, dan pada masa yang sama telah menerima pelaburan besar oleh VCAP Global Inc. Menurut notis yang diterima pada 26 Februari, 2025, VCAP Global Inc memperoleh 15 juta saham biasa pada 25 Februari, 2025, yang mewakili kepentingan langsung sebanyak 8.09 peratus dalam syarikat itu.

Pelaburan strategik itu mencerminkan keyakinan yang kukuh terhadap visi dan potensi pertumbuhan XOX.

Dengan pelantikan Vun dan sokongan daripada VCAP Global Inc, XOX bersedia untuk mempercepat inovasi, mengukuhkan perniagaan telekomunikasi, mengembangkan kehadiran pasaran, dan memacu kemampanan jangka panjang dalam ekonomi digital.

-- BERNAMA