BERITA TERKINI   Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | Sultan Brunei berangkat tiba di Subang untuk Lawatan Negara empat hari ke Malaysia | Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | 

Pertumbuhan KDNK, Prestasi Positif Bursa Malaysia Beri Faedah Kepada Rakyat - PM Anwar 

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar 5.1 peratus serta prestasi positif Bursa Malaysia pada tahun lepas telah memberikan faedah kepada rakyat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata faedah itu termasuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada 120,000 orang, membolehkan kerajaan menambah sistem persaraan gaji serta Sumbangan Tunai Rahmah.

Menurut Perdana Menteri, keyakinan pelabur juga mendorong peningkatan indeks komposit FBM KLCI sebanyak 12.9 peratus dengan mencapai 1,642 mata pada 2024 iaitu paras tertinggi sejak 2020.

"Tahun 2024, alhamdulillah 5.1 peratus (KDNK) (merupakan) antara yang tertinggi di rantau ini. 

"Prestasi (bursa) inilah yang menyebabkan (dividen) Amanah Saham Bumiputera (ASB) kita tertinggi dalam lima tahun (dan) (dividen) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 6.3 peratus, yang tertinggi sejak 2017," kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang ingin tahu mengenai nilai dan kadar pertumbuhan KDNK sebenar dan nominal bagi Malaysia untuk 2022, 2023 dan 2024.

ASB baru-baru ini mengumumkan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit, yang tertinggi dalam tempoh lima tahun manakala KWSP mengumumkan kadar dividen 2024 yang lebih tinggi iaitu 6.30 peratus bagi kedua-dua jenis simpanan, konvensional dan syariah -- tertinggi sejak 2017. 

“Dari segi pencapaian makro ekonomi pada 2024, kita boleh berasa lega sedikit. Pertama, pertumbuhan. Kedua, inflasi yang rendah pada 1.8 peratus. Ketiga, pembentukan modal tetap kasar (GFCF) yang meningkat 12 peratus, iaitu pertumbuhan pelaburan meningkat tinggi sebanyak 12 peratus,” kata Anwar.

-- BERNAMA