BERITA TERKINI   Lepasan SPM digalakkan teroka peluang TVET pertanian, jadi tenaga mahir dalam sektor agri-komoditi negara - TPM Ahmad Zahid | Permodalan Nasional Bhd lantik Datuk Rizal Rickman Ramli sebagai presiden dan ketua eksekutif kumpulan, berkuat kuasa 1 Julai 2026 | PM Anwar tiba di Cebu untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-48 | Dasar sosial hanya bernilai apabila ia mampu mengubah kehidupan rakyat menjadi lebih baik - TPM Ahmad Zahid | Dasar sosial bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi libatkan penjagaan, sokongan keluarga dan maruah hidup - TPM Ahmad Zahid | 

Kerajaan Tidak Bercadang Semak Semula Kadar Cukai Pendapatan Syarikat Buat Masa Ini - Kementerian Kewangan

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Buat masa ini, kerajaan tidak berhasrat untuk menyemak semula kadar cukai pendapatan syarikat, menurut Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik layanan dan pentadbiran cukai bagi meningkatkan lagi tahap kecekapan dan perkhidmatan kepada pembayar cukai. 

“Kerajaan juga perlu memastikan sebarang kajian atau semakan semula kadar cukai pendapatan pada masa akan datang tidak menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan dan pada masa yang sama dapat mengekalkan sistem percukaian yang lebih adil dan progresif,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Dewan Negara hari ini.

Ia menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk menurunkan kadar cukai korporat bagi menarik lebih banyak pelaburan asing. 

Menurut Kementerian Kewangan, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan menurunkan kadar cukai pendapatan syarikat daripada 25 peratus kepada 24 peratus mulai tahun taksiran 2016.

Katanya kerajaan juga telah menurunkan kadar cukai pendapatan bagi perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dengan tujuan untuk meningkatkan daya saing PMKS dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara. 

“Kadar cukai efektif yang ditanggung oleh syarikat juga sebenarnya lebih rendah bergantung pada pelbagai faktor seperti insentif cukai, potongan cukai, pengecualian cukai, pelepasan cukai dan elaun modal yang layak dituntut oleh setiap syarikat. 

“Ini menjadikan kadar cukai pendapatan syarikat di negara ini adalah kompetitif berbanding negara serantau lain dan sekali gus insentif cukai yang diberikan kepada pelbagai pihak dapat menyokong pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan,” katanya.

-- BERNAMA