BERITA TERKINI   Madani Digital Trade ialah inisiatif transformatif yang bakal membentuk semula landskap perdagangan Malaysia -- Tengku Zafrul | Seramai 75,196 ahli KWSP terima insentif kerajaan berjumlah RM11.4 juta di bawah skim program i-Suri pada 2024 - Amir Hamzah | Jumlah keseluruhan caruman i-Saraan KWSP diterima adalah RM2.6 bilion pada 2024 - Amir Hamzah | Intel Corporation lantik anak kelahiran Malaysia, Lip-Bu Tan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 18 Mac depan | Suntikan kerajaan bukannya geran tetapi merupakan pelaburan ke arah memulihkan ekosistem minyak dan gas strategik untuk ekonomi negara - PM Anwar | 

Kerjasama Malaysia, ARM Permulaan Gelombang Semikonduktor Kedua - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Kerjasama strategik Malaysia dengan Arm Holdings Inc adalah permulaan kepada gelombang semikonduktor kedua, menandakan peralihan pendekatan terhadap teknologi yang bakal mencorakkan masa depan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kita telah mencetuskan satu daripada perancangan teknologi paling hebat yang pernah disaksikan Malaysia: untuk merintis cip kecerdasan buatan (AI) 'Buatan Malaysia'.

"Cip ini akan direka bentuk, dikilangkan, diuji dan dipasang di sini, dan dijual ke seluruh dunia," kata Anwar menerusi ucap tama beliau pada majlis pelancaran Kerjasama Strategik Industri Semikonduktor di sini, hari ini.

Beliau berkata perkongsian itu mempunyai tiga ciri utama iaitu pertama mewujudkan program latihan komprehensif bagi 10,000 jurutera reka bentuk litar bersepadu (IC) serta perancangan padu bakat untuk industri semikonduktor negara.

Kedua, ia akan menyediakan kepada syarikat terpilih Malaysia akses kepada teknologi canggih dan portfolio protokol internet (IP) Arm.

Manakala ciri ketiga adalah untuk memudahkan pembangunan produk semikonduktor reka bentuk tempatan yang akan memajukan matlamat negara untuk menghasilkan cip lebih canggih di Malaysia.

"Selain menawarkan teknologi terkini yang merangkumi semua bahagian reka bentuk semikonduktor, Arm juga menubuhkan pejabat pertamanya di ASEAN di Kuala Lumpur.

"Dengan matlamat untuk meluaskan jangkauan ke pasaran ASEAN, Australia dan New Zealand. Saya bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh pengurusan kanan Arm terhadap negara kita," kata Anwar.

Perdana Menteri berkata kerjasama tersebut terjalin hasil daripada usaha keras pelbagai kementerian  melibatkan Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.

Sementara itu, Anwar menggesa agar seluruh jentera kerajaan, universiti, pusat penyelidikan, industri, agensi sains digerakkan sepenuhya bagi tujuan memenuhi keperluan industri semikonduktor.

Ini, kata beliau, bagi memastikan golongan muda mempunyai latihan mencukupi dari segi kelayakan, keterampilan dan kemahiran agar dapat memanfaatkan keperluan syarikat semikonduktor gergasi seperti Arm.

“Dengan Arm, syarikat gergasi dalam bidang semikonduktor AI, dan sepertimana disebut sebagai pencetus perubahan ini, saya anggap Malaysia  (berada) di landasan yang tepat.

“Saya nak menyatakan persiapan bukan sahaja dari sudut ekosistem tetapi latihan, dan segala kemudahan yang mungkin harus dikerahkan untuk melaksanakan program ini,” kata beliau.

-- BERNAMA