BERITA TERKINI   Piala Uber: Jepun 1 Malaysia 0: Akane Yamaguchi kalahkan K. Letshanaa 21-19, 21-17 | 

MIDA, HLB Islamic Jalin Kerjasama Strategik Perkukuh Usahawan PKS Di Wilayah Utara

SUNGAI PETANI, 27 April (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Hong Leong Islamic Bank (HLB Islamic)  hari ini menganjurkan forum khusus bagi memperkukuh ekosistem dan akses usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di wilayah utara.

Forum bertema 'Pengukuhan Usahawan Bumiputera Di Wilayah Utara: Perspektif Dasar Dan Trend Pasaran Semasa' itu menghimpunkan kira-kira 250 usahawan PKS termasuk wakil syarikat bumiputera dari Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Perlis. 

"Berdasarkan pengisian yang menyeluruh, program ini menampilkan perkongsian praktikal dan inisiatif strategik daripada pelbagai agensi kerajaan dan institusi bagi menyokong pertumbuhan usahawan tempatan," menurut MIDA dan HLB Islamic dalam kenyataan bersama hari ini.

Antara fokus utamanya termasuk mengenai inisiatif HLB Islamic mengetengahkan inisiatif BizDagang dan “Greening Halal Business” bagi membantu usahawan mengamalkan model perniagaan hijau patuh syariah.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) turut berkongsi strategi dalam usaha menembusi pasaran antarabangsa serta pengurusan perdagangan.  

MIDA dan HLB Islamic memaklumkan Bank Negara Malaysia (BNM) pula menerangkan Rangka Kerja Transaksi Mata Wang Tempatan (LCTF), manakala Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) menjelaskan Skim Jaminan Kerajaan (GGSM4) untuk meningkatkan akses kredit.

MIDA turut menghuraikan Kerangka Insentif Baharu (NIF) dan Dana Pembangunan Perniagaan Negara Ketiga Malaysia-Singapura (MSBDF), manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkongsi mengenai pelaksanaan e-Invois dalam operasi perniagaan semasa. 

Kemuncak forum adalah sesi diskusi panel bertajuk 'Memacu Juara Bumiputera: Akses dan Peluang Pembiayaan, Akses Pasaran, dan Rantaian Bekalan Global' yang menampilkan wakil daripada HLB Islamic, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Majlis Amanah Rakyat, SME Corporation Malaysia dan Venture TECH bagi membincangkan strategi memperkukuh daya saing usahawan bumiputera. 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata kekuatan ekonomi negara terletak pada syarikat tempatan yang berdaya tahan dan mampu bersaing. 

"Melalui inisiatif seperti ‘Enterprise Growth Platform’ (EGP), MIDA terus komited memperkasa usahawan tempatan dan menghubungkan mereka kepada ekosistem sokongan yang lebih kukuh.

“Ini termasuk memperluas akses kepada pembiayaan, rantaian bekalan global dan peluang pelaburan bernilai tinggi," katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata pelaburan domestik kekal sebagai pemacu utama ekonomi negara, sekali gus mengimbangi persepsi bahawa tumpuan hanya diberikan kepada pelaburan asing. 

Menerusi kempen #InvestLokal, tumpuan diberikan kepada sektor pertumbuhan tinggi, bernilai tinggi (HGHV) bagi memastikan syarikat tempatan dapat berkembang dan bersaing di peringkat antarabangsa, katanya.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata fokus utama MIDA, termasuk untuk memperkasakan syarikat tempatan dalam sektor teknologi tinggi serta mewujudkan peluang untuk syarikat tempatan menjadi rakan pembekal strategik kepada syarikat multinasional.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif HLB Islamic Dafinah Ahmed Hilmi pula berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen mereka untuk memperkasa usahawan tempatan, khususnya di wilayah utara.

"Kami mahu memastikan mereka bukan sahaja berdaya tahan, malah juga bersedia menembusi rantaian bekalan global melalui sokongan kewangan patuh syariah dan bimbingan strategik," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah Prof Dr Haim Hilman Abdullah yang merasmikan forum itu berkata kerajaan negeri komited memperkukuh ekosistem keusahawanan bumiputera di wilayah utara agar lebih berdaya tahan, kompetitif dan bersedia menembusi pasaran global. 

"Penganjuran forum ini mencerminkan kerjasama erat antara kerajaan negeri, MIDA dan HLB Islamic dalam menyediakan akses yang lebih menyeluruh kepada pembiayaan, pasaran serta sokongan strategik kepada usahawan tempatan. 

"Kami yakin, dengan sokongan berterusan, usahawan bumiputera di negeri ini mampu menembusi rantaian bekalan serantau dan global, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri Kedah, dan negara, secara keseluruhan," katanya.

Forum, yang turut dihadiri Pengarah Eksekutif Penggalakan Pelaburan MIDA Faizal Jalaludin, itu adalah hasil kerjasama strategik antara MIDA, HLB Islamic dan kerajaan Kedah.

Acara itu turut menyediakan sesi klinik perniagaan oleh kalangan agensi yang terlibat bagi menyediakan khidmat nasihat secara langsung daripada agensi terlibat. 

-- BERNAMA