BERITA TERKINI   Tarif Trump: Hubungan dengan AS harus dikekalkan, namun Malaysia perlu pertahan pendirian sebagai negara dagang - PM Anwar | Autonomi strategik ASEAN perlu terus dipertahankan memandangkan prinsipnya semakin diterima meluas melangkaui rantau ini - Mohamad Hasan | ASEAN perlu tumpu usaha pastikan Asia Tenggara bersedia hadapi masa hadapan - Mohamad Hasan | ASEAN telah mencapai kedudukan cemerlang dan mendapat penghormatan di pentas antarabangsa - PM Anwar | AMM ke-58: PM Anwar terima kunjungan hormat daripada Menteri-Menteri Luar, Setiausaha Agung ASEAN | 

Ambank Biaya Pengambilalihan RM1.06 Bilion Bahru Stainless Dari Acerinox, Sepanyol

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- AmBank (M) Bhd telah memberikan kemudahan pembiayaan kepada Worldwide Stainless Sdn Bhd, sekutu Yankong Group untuk pengambilalihan Bahru Stainless Sdn Bhd dari Acerinox S.A, Sepanyol pada harga RM1.06 bilion.

Pengambilalihan tersebut diselesaikan pada November 2024, dengan Ambank membiayai 80 peratus daripada urus niaga antara Worldwide Stainless dan Acerinox.

Pengarah Urusan Perniagaan Perbankan Kumpulan Ambank, Christopher Yap mengulas pengambilalihan itu menandakan langkah yang berani ke hadapan yang akan memberi manfaat kepada ekonomi Malaysia serta industri keluli tahan karat negara.

"Industri keluli tahan karat Malaysia sedang bersedia untuk pertumbuhan dan dengan kepakaran Stainless Worldwide serta sokongan kewangan kami, kami berada di kedudukan yang baik bagi merebut peluang baharu di pasaran tempatan dan global," katanya pada media selepas upacara memeterai perjanjian fasiliti itu.

Beliau menjelaskan bahawa struktur pembiayaan US$95 juta (kira-kira RM450 juta) telah disediakan bagi pengambilalihan itu meliputi 80 peratus daripada urus niaga berkenaan, manakala baki RM600 juta diperuntukkan sebagai modal kerja.

"Syarikat memerlukan modal yang signifikan untuk mengimport bahan mentah terutamanya gegelung, yang penting bagi pengeluaran keluli tahan karat," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Stainless Worldwide dan Yankong Group, Danny Tan Wei Beoh berkata tarif 25 peratus Amerika Syarikat (AS) terhadap import keluli telah mewujudkan peluang baru bagi syarikat itu.

"Walaupun bimbang dengan tarif AS ke atas keluli tahan karat, kami melihat ini sebagai kelebihan dan bukannya penghalang. Di bawah dasar tarif Donald Trump, pembekal dari China telah mengeksport keluli tahan karat ke Kanada, Mexico dan Korea Selatan, yang kemudiannya mengeksportnya semula ke Amerika Syarikat.

"Bagaimanapun, dengan sekatan tarif baharu ini, negara-negara berkenaan tidak lagi dapat membuat pembekalan kepada pasaran AS secara kompetitif. Peralihan ini membuka peluang baru bagi syarikat kami untuk meningkatkan eksport ke AS memandangkan pembeli mereka sudah pasti akan mencari pembekal alternatif," katanya lagi.

-- BERNAMA