BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

ZTE, CelcomDigi Bekerjasama Pacu Infrastruktur Telekomunikasi Malaysia Dengan AI

Oleh Zairina Zainudin

BARCELONA (Sepanyol), 6 Mac (Bernama) -- Penyedia penyelesaian teknologi global, ZTE Corporation dan CelcomDigi menjalin kerjasama bagi menyepadukan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam infrastruktur telekomunikasi Malaysia.

Di bawah kerjasama itu, dua syarikat berkenaan akan meningkatkan aspek seperti ketersambungan, memperkasakan perniagaan dan menyokong inisiatif digital kerajaan melalui penyelesaian yang dipacu oleh AI, termasuk pemeriksaan terperinci, operasi dan penyelenggaraan pintar.

Dalam kenyataannya, Pengarah Urusan ZTE Malaysia Steven Ge berkata kerjasama dengan CelcomDigi juga menandakan langkah penting untuk membawa inovasi dipacu AI kepada sektor telekomunikasi Malaysia.

“Menerusi penyepaduan penyelesaian AI yang paling maju, kami dapat meningkatkan pengalaman pengguna dan membantu perniagaan beralih ke digital.

“Ini akhirnya dapat mempercepat transformasi digital dipacu AI Malaysia dalam mengukuhkan lagi kedudukan negara sebagai hab digital di rantau ini (Asia Tenggara)," kata Pengarah Urusan ZTE Malaysia Steven Ge dalam satu kenyataan.

Majlis pertukaran memorandum persefahaman bagi kerjasama itu telah diadakan di luar acara Mobile World Congress (MWC) 2025 di sini.

Acara itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching yang kini dalam lawatan kerja dua hari ke Barcelona bagi mewakili Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

MWC yang juga acara dan pameran teknologi telekomunikasi terbesar dunia, menghimpunkan pemimpin industri, inovator dan penggubal dasar bagi mengetengahkan kemajuan terkini dalam teknologi mudah alih, ketersambungan dan transformasi digital.

Penganjurannya yang memasuki edisi ke-19 tahun ini, menyaksikan Pavilion Malaysia memaparkan pencapaian serta kemajuan teknologi negara dan peranannya dalam memacu kemajuan melalui penggunaan 5G, infrastruktur digital dan inovasi kolaboratif di rantau ASEAN.

-- BERNAMA