BERITA TERKINI   PM Anwar seru pemimpin masyarakat bantu perjelas dasar dan kejayaan kerajaan | MA63: Kerajaan MADANI berjaya selesaikan sembilan tuntutan - TPM Fadillah | InvestKL peroleh pelaburan langsung asing berjumlah RM4.08 bilion pada 2024 - CEO InvestKL | MATRADE, dengan kerjasama Nazsoft Tech Sdn Bhd melancarkan MADANI Digital Trade, wadah maya bersepadu yang bertujuan mengukuhkan akses pengeksport Malaysia ke pasaran global | Madani Digital Trade boleh menjadi pencetus perubahan membantu PKS raih manfaat daripada teknologi seperti data raya dan analitik, pengkomputeran awan dan AI -- Tengku Zafrul | 

Malaysia, GSMA Teroka Kerjasama Lebih Kukuh Dalam Telekomunikasi Di MWC Barcelona 2025

Daripada Zairina Zainudin

BARCELONA (Sepanyol), 6 Mac (Bernama) -- Malaysia mengesahkan semula komitmen untuk mengeratkan lagi hubungan dengan Global System for Mobile Communications (GSMA), meneroka cara untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor telekomunikasi.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata mesyuarat dua hala yang diadakan dengan GSMA di luar acara Mobile World Congress (MWC) Barcelona 2025 di sini menumpukan kepada memperluas kerjasama antara Malaysia dan organisasi global itu.

“GSMA juga mengiktiraf kehadiran berterusan Pavilion Malaysia di MWC Barcelona selama dua tahun berturut-turut, membuktikan komitmen teguh kita untuk menyokong pertumbuhan industri telekomunikasi di peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya menerusi catatan media sosial terbarunya.

Beliau, yang sedang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sepanyol, berkata mesyuarat itu turut merangkumi isu mendesak berkaitan kepercayaan digital termasuk ancaman penipuan dan aktiviti siber berniat jahat lain yang semakin meningkat.

Kedua-dua pihak menekankan perlunya pendekatan kolaboratif untuk mengatasi cabaran itu dengan berkesan, katanya.

“Kita menekankan kepentingan tanggungjawab bersama di samping kerjasama dalam mengatasi cabaran ini dan memastikan masa depan digital yang terjamin untuk semua.

“Saya mengharapkan perkembangan berterusan daripada perkongsian ini dan impak positifnya kepada landskap telekomunikasi global," katanya.

GSMA ialah tuan rumah MWC Barcelona 2025 -- acara industri mudah alih terbesar dunia, menghimpunkan peserta utama dalam telekomunikasi untuk mempamerkan inovasi, membincangkan trend industri dan menggalakkan perkongsian global.

Penganjurannya yang memasuki edisi ke-19 tahun ini, menyaksikan Pavilion Malaysia mengetengahkan kemajuan teknologi negara dan peranannya dalam memacu kemajuan melalui penggunaan 5G, infrastruktur digital dan inovasi kolaboratif di ASEAN.

-- BERNAMA