BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | 

U Mobile, CUMY Jalin Kerjasama Untuk IoT, Pertumbuhan Mobiliti Pintar

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- U Mobile menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan China Unicom Operations (Malaysia) Sdn Bhd (CUMY) untuk memacu inovasi dalam Internet of Things (IoT), mobiliti pintar dan teknologi mampan, memacu penggunaan dalam kalangan perniagaan dan perusahaan besar di Malaysia.

Di bawah kerjasama strategik ini, U Mobile dan CUMY akan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk membangunkan penyelesaian perusahaan, dengan tumpuan kepada Internet of Vehicles (IoV) dan integrasi ekosistem IoT dalam pengangkutan dan infrastruktur bandar untuk membentuk masa depan bandar pintar.  

“U Mobile dan CUMY juga akan sama-sama membangunkan penyelesaian digital menyeluruh yang disesuaikan untuk industri utama seperti pertanian, pembuatan serta minyak dan gas bagi memastikan kesalinghubungan yang lancar untuk meningkatkan kecekapan operasi,” menurut kedua-dua syarikat itu dalam kenyataan hari ini.  

Ketua Pegawai Maklumat U Mobile Neil Tomkinson berkata sebagai penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia pada masa depan, U Mobile komited untuk menyokong matlamat negara untuk menjadi negara digital berpendapatan tinggi.  

“Kerjasama dengan CUMY ini akan menjadi pemangkin utama untuk mencapai matlamat ini dengan memacu transformasi digital untuk perusahaan dan meningkatkan kesalinghubungan bagi perniagaan China di Malaysia, mewujudkan persekitaran yang kukuh untuk menarik lebih banyak pelaburan ke negara ini,” katanya.

-- BERNAMA