BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Pasaran Getah Ditutup Rendah Dipengaruhi Penurunan Di Pasaran Niaga Hadapan Serantau

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah pada Selasa, menjejaki momentum penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau apabila sentimen global dipengaruhi kebimbangan berkaitan kelembapan ekonomi dunia dan peningkatan perang perdagangan, kata peniaga.

Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun mencecah paras terendah dalam tempoh tujuh bulan pada Selasa berikutan kekukuhan yen, manakala tekanan deflasi yang meningkat telah menambah kebimbangan mengenai pemulihan ekonomi di negara pengguna utama, China.

Bagaimanapun, penurunan seterusnya di pasaran tempatan dihadkan oleh penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kestabilan penanda aras harga minyak mentah memandangkan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli terus menyokong pasaran, katanya kepada Bernama.

Sentimen pasaran juga disokong oleh peningkatan harapan terhadap langkah rangsangan China ketika peniaga menunggu data ekonomi AS untuk petunjuk selanjutnya mengenai ekonomi negara itu.

Lembaga Getah Malaysia melaporkan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 turun 1.0 sen kepada 883.00 sen sekilogram setakat pukul 3 petang, manakala susu getah pukal susut 1.5 sen kepada 702.00 sen sekilogram.

-- BERNAMA