BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Lebih 26,000 Syarikat Guna Sistem E-invois, 207.4 Juta E-invois Dikeluarkan Setakat Ini - Lim

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Sebanyak 26,665 syarikat telah menggunakan sistem e-Invois sejak ia dilaksanakan pada Ogos 2024 dengan 207.4 juta e-Invois dikeluarkan setakat 10 Mac lepas, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. 

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan tahap penerimaan yang baik dalam kalangan syarikat untuk mematuhi pelaksanaan e-Invois dan keberkesanan sistem yang disediakan oleh kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Bagaimanapun, katanya walaupun tahap penerimaan pelaksanaan e-Invois adalah baik, pembayar cukai masih menghadapi beberapa cabaran dalam menggunakan platform itu.

“Kita sedang menghadapinya dan mengenal pasti banyak cabaran yang dihadapi oleh pembayar cukai. Ada langkah-langkah penambahbaikan yang telah disediakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tiew Way Keng yang ingin tahu mengenai isu berbangkit dan penambaikan yang dilakukan oleh kerajaan berhubung pelaksanaan e-Invois. 

Lim berkata kerajaan membenarkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan e-Invois yang disatukan yang menggabungkan semua transaksi jualan PMKS setiap bulan.

“Ia hanya perlu dikemukakan kepada pihak LHDN dalam tempoh tujuh hari pertama bulan berikutnya melalui Portal MyInvois atau aplikasi MyInvois bagi proses penghantaran e-Invois kepada LHDN,” katanya. 

Katanya LHDN turut menyediakan kaunter perkhidmatan e-Invois di seluruh negara yang dilengkapi dengan kemudahan komputer dan talian internet bagi memudahkan PMKS mengeluarkan e-Invois sekiranya menghadapi masalah bekalan elektrik atau sambungan internet yang kurang baik. 

-- BERNAMA