BERITA TERKINI   PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

Indikator Ekonomi MADANI Catat Pencapaian Positif Setakat Ini - Dr Zaliha

KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Indikator yang menentukan kejayaan kerangka Ekonomi MADANI telah menunjukkan pencapaian positif setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata prestasi kerangka Ekonomi MADANI boleh dinilai menerusi beberapa indikator penting termasuk pertumbuhan ekonomi, kadar pengangguran, tahap kemiskinan, inflasi, perdagangan dan pelaburan serta kedudukan fiskal negara. 

"Jadi indikator-indikator ini menunjukkan pencapaian positif setakat hari ini...kadar pengangguran stabil pada 3.2 peratus dan kadar kemiskinan telah pun menurun 8 peratus. 

"Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pula meningkat 5.1 peratus dan inflasi menurun 1.8 peratus dan jumlah perdagangan meningkat 9.2 peratus kepada RM2.9 trilion," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan oleh Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang bertanya mengenai pencapaian Ekonomi MADANI sehingga kini dan cabaran yang dihadapi bagi mencapai sasaran. 

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata antara indikator lain termasuk pengeluaran hutang baharu yang telah berkurangan sebanyak 17 peratus manakala defisit fiskal bertambah baik.

Selain itu, beliau menjelaskan jumlah pelaburan diluluskan turut meningkat 14.9 peratus kepada RM378.5 bilion, seterusnya telah mewujudkan lebih daripada 207,000 peluang pekerjaan. 

"Pencapaian ini membuktikan keberkesanan dasar ekonomi dan juga tadbir urus Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan inklusif dan berdaya tahan.

"Kerajaan akan terus menyesuaikan strategi bagi memastikan manfaat ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat secara adil dan juga saksama," katanya.

-- BERNAMA