BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

TNB Pilihan Pelaburan Selamat Di Sebalik Ketidaktentuan Pasaran, Maybank Investment Kekalkan Saranan 'Pegang'

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Seorang penganalisis menjangkakan Tenaga Nasional Bhd (TNB) sebagai pilihan pelaburan selamat berdasarkan daya tahan pendapatannya dan penilaian sederhana (undemanding valuation) di sebalik ketidaktentuan pasaran ketika ini.

Penilaian sederhana bermaksud aset atau syarikat dinilai pada harga yang agak rendah berbanding dengan nilai intrinsiknya bermakna harganya tidak tinggi dan berpotensi menawarkan nilai terbaik untuk pelabur.

Maybank Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata pendapatan jangka sederhana TNB disandarkan oleh pulangan tetap ke atas asas aset terkawal bertumpu domestik yang semakin meningkat dengan potensi risiko meningkat daripada penggunaan perbelanjaan modal (capex) luar jangka dan sumbangan daripada segmen penjanaannya.

Pendapatan TNB disokong oleh asas pendapatan terkawal yang cukup besar (lebih daripada 70 peratus) dan berdaya tahan, manakala tarif asas Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) telah mencerminkan perbelanjaan modal asas tiga tahun sebanyak RM26.6 bilion (naik 29 peratus daripada RP3) pada pulangan terkawal 7.3 peratus.

“Sementara itu, capex luar jangka berjumlah RM16.3 bilion (juga pada pulangan 7.3 peratus dan berkemungkinan akan berubah pada masa depan) tidak termasuk dalam tarif asas dan bukan dalam unjuran kami dengan mekanisme untuk melakukan pemulihan masih belum dimuktamadkan.

“Mengikut jangkaan kami, menggunakan sepenuhnya capex luar jangka boleh meningkatkan anggaran tahun kewangan 2027 keuntungan bersih adalah kira-kira lapan peratus,” katanya.

Maybank Investment berkata sumbangan penjanaan kepada pendapatan disatukan TNB tidak akan dilihat serta-merta kerana pendapatan GenCo (syarikat penjanaan) dilaporkan terjejas oleh margin bahan api.

“Kami menjangkakan sumbangan daripadap penjanaan akan pulih beberapa tahun akan datang dengan Manjung 4 kini beroperasi selepas dihentikan sementara pada 2024.

“Harga arang batu menurun ketika ini, bersama-sama dengan pengasasan semula harga arang batu rujukan dalam RP4, surcaj Pelepasan Kos Tidak Berimbang (ICPT) tidak seimbang dijangka lebih rendah dan ini akan membantu mengurangkan tekanan orang ramai terhadap perubahan bil bersih apabila jadual tarif yang disemak semula berkuat kuasa pada separuh kedua 2025,” katanya.

Oleh itu, bank pelaburan itu mengekalkan saranan ‘kekal’ (hold) terhadap TNB dengan harga sasaran berasaskan aliran tunai diskaun yang tidak berubah pada RM14.50.

-- BERNAMA