BERITA TERKINI   Pelantikan hakim mahkamah atasan perlu ditangani dengan cermat, elak dipolitikkan - Istana Negara | Menteri Luar Australia umum program pembangunan AU$1.28 bilion untuk ASEAN bagi menyerap impak pemotongan dana USAID | CAAM sahkan kemalangan helikopter polis jenis AS355 berhampiran Sungai Pulai di Gelang Patah, Johor pagi ini, lima mangsa selamat | ASEAN sambut baik perkembangan Kod Tatalaku Laut China Selatan, harap dimuktamadkan dalam masa terdekat - Mohamad Hasan | Perjanjian FTA ASEAN-China 3.0 yang bakal dimeterai akhir tahun ini perkukuh kerjasama ekonomi, daya tahan rantau ini - Mohamad Hasan | 

Catcha Digital Ambil Alih 51 Peratus Saham Digital Symphony Pada Harga RM22.95 Juta Tunai

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Catcha Digital Bhd memeterai perjanjian jual beli saham bersyarat bagi mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam DS Services Sdn Bhd (Digital Symphony) dengan nilai RM22.95 juta secara tunai.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini Catcha Digital berkata pertimbangan tunai tersebut akan dibayar dalam tiga kali ansuran sepanjang 24 bulan selepas selesai transaksi jual beli saham tersebut.

Dengan pembayaran itu, ia dijangka mencapai keuntungan bersih sebanyak RM4.5 juta untuk 12 bulan pertama dan RM4.5 juta lagi pada tahun kedua.

Ditubuhkan pada 2017 oleh Kuhan Kumar Digital Symphony khusus dalam pemasaran prestasi, memanfaatkan automasi, analisis data, dan penyelesaian perisian khusus untuk membantu jenama mencapai matlamat pengiklanan digital mereka.

“Catcha Digital dan anak-anak syarikatnya akan dapat menawarkan penyelesaian pemasaran prestasi dipacu oleh data Digital Symphony kepada pelanggan mereka, sementara Digital Symphony pula dapat memanfaatkan ekosistem media digital Catcha Digital yang luas dan capaian yang lebih besar untuk memperkukuhkan tawaran mereka.

“Sinergi yang dipacu oleh data ini dijangka akan mempercepatkan pertumbuhan kedua-dua entiti, memberikan pengiklan pendekatan yang lebih pintar dan berfokus pada hasil dalam pemasaran digital,” katanya.

Pengerusi Catcha Digital Patrick Grove berkata syarikat itu sedang memperkukuhkan penggunaan data, automasi, dan pembelajaran mesin untuk menghasilkan penyelesaian yang lebih baik bagi pengiklan melalui pengambilalihan ini.

“Gabungan pemasaran prestasi berasaskan hasil Digital Symphony dan capaian yang meluas daripada Catcha Digital akan menjadi satu perubahan besar bagi jenama yang ingin mengembangkan kehadiran digital mereka,” katanya.

-- BERNAMA