BERITA TERKINI   MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kerajaan setuju bayar RM200 sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Kebanyakannya Tinggi

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kebanyakannya tinggi pada Khamis, disokong oleh jangkaan pengeluaran yang lebih rendah dalam minggu-minggu akan datang berikutan keadaan banjir semasa di Johor, kata peniaga minyak sawit David Ng.

Beliau berkata kenaikan dalam pasaran minyak soya juga menyokong lonjakan harga MSM.

“Kami melihat paras sokongan pada RM4,300 dan paras rintangan pada RM4,580,” katanya kepada Bernama hari ini.

Pada penutup dagangan, bulan semerta baharu untuk April 2025 meningkat RM35 kepada RM4,669 setiap tan, Mei 2025 naik RM37 kepada RM4,529 dan Jun 2025 naik RM24 kepada RM4,413.

Kontrak Julai 2025 meningkat RM13 kepada RM4,299 setiap tan dan Ogos 2025 naik RM1 kepada RM4,215, bagaimanapun, September 2025 turun RM12 kepada RM4,163.

Jumlah dagangan melonjak kepada 111,206 lot berbanding 96,070 ketika ditutup pada Rabu, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 260,294 kontrak berbanding 250,149 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Mac Selatan meningkat RM40 kepada RM4,820 setiap tan.

-- BERNAMA