BERITA TERKINI   Penganalisis ekonomi Prof Madya Datuk Dr Madeline Berma meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor pagi tadi - ahli keluarga | PRK DUN Lamag: Mohd Ismail Ayob dipilih calon wakili BN - Pengerusi UMNO Sabah | Ahmad Faizal Azumu umum letak jawatan Pengerusi PN Perak | Azmin Ali letak jawatan sebagai Setiausaha Agung PN | Datuk Dr Sahruddin Jamal umum letak jawatan Pengerusi PN Johor | 

Bank-bank Islam Tawar Bantuan Kepada Mangsa Insiden Kebakaran Di Putra Heights

KUALA LUMPUR, 2 April (Bernama) -- Bank-bank Islam di Malaysia komited menawarkan bantuan kewangan kepada mangsa insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Selangor.

Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dalam satu kenyataan hari ini berkata bantuan kewangan yang disesuaikan itu ditawarkan untuk menyokong mangsa dan keluarga mereka yang kebanyakannya mengalami pelbagai kecederaan.

“Pelanggan yang terjejas digalakkan untuk menghubungi bank masing-masing bagi mengetahui lebih lanjut mengenai sokongan yang tersedia, yang mencerminkan prinsip kewangan Islam iaitu keadilan, empati, dan kebajikan masyarakat,” kata AIBIM.

Pengarah eksekutifnya Ratna Sha’erah Kamaludin melahirkan solidariti bersama mereka yang terjejas akibat insiden itu yang memberi impak besar kepada masyarakat setempat.

"Kami bersimpati dengan mangsa insiden (kebakaran) di Putra Heights. Kami mahu mereka tahu bahawa bank-bank Islam sentiasa bersedia untuk membantu mereka semasa tempoh sukar ini," katanya.

-- BERNAMA