BERITA TERKINI   Presiden dan CEO Kumpulan Malaysia Aviation Group Kapten Nasaruddin A. Bakar dilantik sebagai ahli lembaga gabenor IATA  | Pemimpin agama perlu tangani keperluan golongan muda berdepan ancaman maklumat palsu didorong oleh AI - Sultan Perak | Keamanan dinikmati Malaysia kini membuktikan toleransi, keharmonian antara agama boleh dicapai - PM Anwar | Islam adalah agama Persekutuan, perlu pastikan setiap warganegara berasa selamat, dilindungi dan dihormati sama rata - PM Anwar | Pemimpin agama kekal relevan sebagai suara hati nurani, kewarasan dan toleransi dalam dunia pascanormal - PM Anwar | 

Pasaran Getah Ditutup Bercampur-Campur

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Jumaat dalam perdagangan nipis berikutan ketiadaan pemain dari China, kata seorang peniaga.

Bagaimanapun, beliau berkata harga getah SMR 20 dilihat mula menjejaki kerugian dalam pasaran niaga hadapan serantau disebabkan peningkatan kebimbangan mengenai implikasi tarif Amerika Syarikat yang telah diumumkan.

"Sentimen negatif terus mengukuh selepas harga minyak jatuh.

"Bagaimanapun, kerugian selanjutnya dihadkan oleh gangguan bekalan getah asli (NR) dari negara -negara pengeluar utama NR susulan permulaan musim sejuk selain harapan bagi pemotongan kadar faedah AS," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga itu berkata harga minyak meneruskan kerugian hari ini selepas menyusut pada sesi sebelumnya memandangkan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) bersetuju untuk mempercepatkan peningkatan output sebanyak 411,000 tong sehari, manakala tarif Presiden AS, Donald Trump terus menjejaskan pasaran.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent telah menurun 3.35 peratus kepada US$67.82 setong. 

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga SMR 20 merosot 16 sen kepada 836.5 sen sekilogram, manakala harga lateks pukal naik sebanyak 2.0 sen kepada 668 sen sekilogram.

-- BERNAMA