BERITA TERKINI   Kerajaan pertimbang wajibkan label ‘AI generated’ bagi kandungan digital di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian - Fahmi | Pihak berkuasa perlu siasat kesahihan dokumen minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman yang tular - Fahmi | Bangkai helikopter PDRM yang terhempas di Sungai Pulai dijangka dinaikkan esok atau lusa dengan bantuan TLDM dan APMM - Komander PGU  | Kemalangan helikopter: Lima mangsa termasuk dua di ICU Hospital Sultanah Aminah stabil - Komander PGU | KPT pantau aktiviti berkaitan militan IS dalam kalangan pelajar IPT - Zambry | 

Niaga Hadapan Emas Dijangka Diniagakan Lebih Rendah Minggu Depan

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 5 April (Bernama) -- Pasaran niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan lebih rendah minggu depan yang mungkin mendorong pelabur untuk membeli pada harga lebih rendah, kata Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes.

Beliau berkata emas masih merupakan aset yang menguntungkan dan mudah tunai selain dalam situasi kejatuhan pasaran ekuiti yang menyeluruh, aset yang menguntungkan akan dijual.

"Ini merupakan paradoks penyesuaian semula dan emas mungkin mengalami penurunan jangka pendek, bukan kerana asasnya rosak tetapi kerana portfolio perlu menampung kekosongan di tempat lain," katanya.

Beliau berkata permintaan jangka panjang terhadap emas masih kukuh.

Pada minggu yang dipendekkan cuti, harga bulan semerta April dari Jumaat ke Jumaat US$3,105.20 setiap auns troy berbanding US$3,080.20 setiap auns troy pada minggu lepas.

Sementara itu, kontrak Mei 2025, Jun 2025 dan Ogos 2025 meningkat kepada US$3,126.80 setiap auns troy daripada US$3,090.20 setiap auns troy minggu lepas.

Jumlah dagangan menokok kepada 340 lot minggu ini berbanding 226 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka naik kepada 141 kontrak berbanding 78 kontrak sebelumnya.

Mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 3 April 2025, harga emas fizikal berada pada harga US$3,118.10 setiap auns troy.

Pasaran ditutup pada Isnin dan Selasa bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

-- BERNAMA