BERITA TERKINI   Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, Selangor pagi tadi telah pulih sepenuhnya - TNB | Untung bersih MISC Bhd suku kedua tahun kewangan 2025 susut 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM464.4 juta susulan hasil lebih rendah sebanyak RM2.72 bilion | Harga jualan purata lebih rendah beri kesan kepada hasil Petronas Dagangan Bhd, yang susut kepada RM9.07 bilion suku kedua 2025 daripada RM9.84 bilion suku kedua 2024 | Untung bersih Petronas Dagangan susut kepada RM265.53 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 daripada RM276.39 juta tahun sebelumnya berikutan untung kasar lebih rendah, diimbangi  perbelanjaan rendah | Hutang keseluruhan bertambah kerana beban faedah hutang lama yang diwarisi, bukan kerana pinjaman baharu, rekod jelas menunjukkan hutang baharu berkurang - PM Anwar | 

Tarif AS Beri Cabaran Dan Juga Peluang Kepada ASEAN -- Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Pengumuman tarif oleh Washington baru-baru ini akan mengubah dinamik perdagangan dan persekitaran operasi yang boleh mempengaruhi naratif pertumbuhan ekonomi, sekali gus memberikan cabaran dan juga peluang kepada ASEAN.

Justeru, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata negara anggota ASEAN perlu mengukuhkan daya tahan, meningkatkan kerjasama dan memajukan lagi integrasi ekonomi serantau.

“Walaupun kita terus komited terhadap perdagangan antarabangsa, memupuk kerjasama lebih kukuh sesama anggota ASEAN akan membuka jalan kepada komuniti ASEAN yang lebih berdikari dan berdaya tahan,” katanya menerusi ucapan perasmian persidangan Meja Bulat Pelabur ASEAN: Memanfaatkan Peluang untuk Memajukan Inisiatif Iklim ASEAN, di sini, hari ini.

Walaupun setakat ini ASEAN berada di landasan untuk menjadi blok keempat terbesar menjelang 2030 dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2025 diunjur berkembang sebanyak 4.7 peratus melepasi purata global, Amir Hamzah berkata blok itu tidak boleh terlalu leka.

Beliau berkata landskap ekonomi global sedang berkembang pesat dengan jangkaan turun naik ekonomi dan pasaran kewangan yang lebih tinggi.

“Negara-negara ASEAN semakin berdepan dengan situasi sukar akibat perubahan iklim yang mengakibatkan kesan kemusnahan kepada ekonomi dan mata pencarian kita.

“Kita mengalami bencana alam yang lebih kerap dan teruk seperti banjir, kemarau dan taufan, menyebabkan kerugian berbilion-bilion kepada ekonomi setiap tahun. Apabila cabaran berkaitan iklim ini semakin getir, ekonomi ASEAN berisiko kehilangan sehingga 11 peratus daripada KDNKnya menjelang 2100 jika tiada langkah berkesan diambil,” katanya.

Persidangan Meja Bulat itu diadakan sempena Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 dan mesyuarat berkaitan selama empat hari, bermula hari ini.

Mesyuarat persediaan bagi AFMGM ke-12 bermula pagi ini apabila para pegawai kanan mula memuktamadkan dokumen untuk dibincangkan oleh menteri lewat minggu ini, dengan penekanan utama untuk meningkatkan integrasi kewangan serantau.

Dipengerusikan oleh Malaysia, siri mesyuarat itu dimulakan dengan Mesyuarat Timbalan Menteri Kewangan ASEAN dan Mesyuarat Timbalan Gabenor Bank Pusat ASEAN.

-- BERNAMA