BERITA TERKINI   Segamat dan Batu Pahat disyor dimasukkan dalam peta hazard seismik - Ahmad Maslan | Gempa bumi Segamat: 62 laporan kerosakan kecil kediaman persendirian, dua surau diterima setakat ini - Ahmad Maslan | Gempa bumi: Sebanyak 15 bangunan kerajaan di Segamat alami kerosakan kecil, anggaran kos baik pulih berjumlah RM550,550 - Ahmad Maslan | Polis rampas 80kg syabu bernilai RM2.6 juta dan tahan tiga suspek di Kota Tinggi minggu lepas - KP Johor | Tan Sri Abu Sahid mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan pecah amanah RM313 juta dan 13 tuduhan pengubahan wang haram RM139.2 juta berkaitan projek MEX II | 

Pasaran Getah Tempatan Ditutup Rendah Seiring Negara Serantau

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup lebih rendah pada Selasa seiring penurunan negara serantau berikutan sentimen global yang dipengaruhi kebimbangan mengenai keputusan kadar tarif Amerika Syarikat (AS) dan perang dagangan yang semakin meningkat, kata seorang peniaga.

Bagaimanapun, katanya, penurunan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS dan harga minyak mentah penanda aras yang stabil sementara kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli terus menyokong pasaran.

"Sentimen pasaran juga dipacu oleh harapan yang semakin meningkat terhadap langkah rangsangan dari China," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga tersebut melaporkan niaga hadapan getah Jepun pulih dari paras terendah lebih dari setahun pada Selasa, disokong oleh kebimbangan bekalan akibat cuaca hujan di Thailand yang merupakan pengeluar utama sementara pasaran pengguna utama, China dikatakan mula pulih dan meningkatkan sentimen.

Menurutnya, agensi meteorologi Thailand memberi amaran berhubung potensi kerosakan tanaman dari 12 hingga 13 April 2025 dengan kemungkinan berlakunya ribut musim panas.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 turun sebanyak 22.5 sen kepada 771 sen sekilogram manakala lateks pukal menyusut sebanyak satu sen kepada 662.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA