BERITA TERKINI   Liga Super: Kelantan TRW FC 0-1 Kuching City FC | PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | 

Ringgit Pulih Selepas Penangguhan Tarif 90 Hari

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Ringgit ditutup lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, menamatkan tiga hari penurunan berturut-turut susulan pengumuman Presiden AS, Donald Trump mengenai penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari untuk semua negara kecuali China.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.4670/4730 berbanding dolar AS, mencatatkan kenaikan sebanyak 0.58 peratus daripada 4.4935/4990 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata penangguhan tersebut meningkatkan sentimen pasaran dan membuka jalan bagi negara-negara untuk berunding dengan kerajaan AS dan mungkin mencapai hasil yang lebih baik. 

"Hal itu menyumbang kepada pemulihan dalam aset berisiko di pasaran saham dan mata wang," katanya kepada Bernama.

Dilaporkan sepanjang tempoh penangguhan 90 hari berkenaan, tarif akan kembali kepada kadar asas sebanyak 10 peratus walaupun rundingan dengan AS terus berlangsung.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama hari ini.

Ringgit melonjak berbanding yen Jepun kepada 3.0594/0639 daripada 3.0921/0964, menokok berbanding euro kepada 4.9401/9467 daripada 4.9640/9700 dan naik berbanding pound Britain kepada 5.7566/7644 daripada 5.7629/7700 semalam.

Mata wang tempatan itu juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit berkembang sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 265.5/265.9 daripada 266.3/266.7 dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.79/7.81 daripada 7.83/7.85.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 13.0618/0866 daripada 12.9915/13.0153 dan lebih lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.3361/3411 daripada 3.3349/3395 sebelumnya.

-- BERNAMA