BERITA TERKINI   PM Anwar ucap tahniah kepada Pusat Jantung Hospital Serdang atas pencapaian membanggakan dalam beri rawatan berkualiti tinggi kepada rakyat | Tumpuan pembangunan negara tidak hanya kepada digital, teknologi malah berpaksi nilai berteraskan agama - PM Anwar | Kerajaan terus beri sokongan jayakan sambutan Hari Wesak bagi hormati masyarakat Buddha di negara ini - PM Anwar | PM Anwar seru majoriti yang cintakan Malaysia tidak biarkan negara ditawan naratif kebencian | PM Anwar mahu agensi berkaitan turun padang bantu PKS, perjelas pembiayaan disediakan kerajaan | 

Malaysia, ASEAN Akan Terus Adakan Rundingan Dengan NZ, Rakan Dagang Lain Bagi Kemakmuran Ekonomi

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Malaysia dan ASEAN akan terus berbincang dan mengadakan dialog dengan New Zealand dan rakan dagangan utama lain untuk membangunkan strategi inklusif menangani cabaran seperti tarif AS bagi manfaat kemakmuran ekonomi serantau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau berbual dengan rakan sejawatannya dari New Zealand Christopher Luxon menerusi panggilan telefon berhubung tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) serta menegaskan pendirian Malaysia dan ASEAN yang sentiasa mengutamakan rundingan.

Anwar berkata beliau juga menekankan tentang keperluan ASEAN memperkukuh kesepakatan serantau agar sebarang langkah susulan dapat diselaras secara tuntas dan berkesan.

“Saya turut maklumkan kepada PM Luxon tentang penganjuran Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN oleh Malaysia yang berlangsung hari ini bagi meneliti secara mendalam isu ini dan merangka pendekatan kolektif yang terbaik.

“Kami berdua bersetuju tentang kepentingan mengukuhkan kerjasama serantau, termasuk menyelaraskan tindak balas kami terhadap tarif AS,” kata beliau menerusi hantaran di laman X.

Semalam, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata ia menyasarkan  perdagangan dua hala dengan New Zealand meningkat sebanyak 50 peratus, dengan anggaran nilai RM25.67 bilion menjelang 2030.

.Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia menghargai rakan dagang seperti New Zealand, terutama dalam ekonomi global yang tidak menentu.

-- BERNAMA