BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

MPOB Perkenal Projek Rintis Excavator, Bantu Pekebun Kecil Tingkat Produktiviti

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perkenal projek rintis Skim Pemberian Excavator (SPE) dengan kerjasama Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Sugut Paitan, Sabah. 

MPOB dalam satu kenyataan berkata projek rintis itu melibatkan peruntukan RM350,000 kepada KPSM Sugut Paitan bagi pembelian sebuah jengkaut, digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan jalan ladang.

“Melalui model simbiotik ini, KPSM bukan sahaja dapat menawarkan perkhidmatan pada kos lebih rendah malah pekebun kecil juga berpeluang menikmati kemudahan infrastruktur lebih baik tanpa menanggung beban kewangan tinggi,” katanya.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin dalam kenyataan sama berkata menerusi inisiatif itu, KPSM dapat menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan jalan ladang dengan kadar caj berpatutan dan lebih rendah berbanding harga pasaran

“Ini secara langsung akan mengurangkan beban kewangan pekebun kecil sekali gus meningkatkan aksesibiliti dan kelancaran operasi ladang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata program tersebut juga membuka ruang perkongsian maklumat mengenai kelebihan menyertai KPSM.

“Ia dapat memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil sawit persendirian dalam meningkatkan daya saing dan keberkesanan pengurusan operasi ladang mereka.

“Para pekebun kecil boleh mendapatkan khidmat nasihat penanaman sawit di Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB di negeri Sabah termasuk Pejabat Wilayah Sabah di Kota Kinabalu dan cawangannya di Keningau, Kota Marudu, Beaufort, Beluran, Ranau, Tawau, Kinabatangan, Semporna, Telupid serta Stesen Penyelidikan MPOB Sandakan dan Lahad Datu,” katanya.

Selain itu, MPOB turut memaklumkan bahawa kerajaan meneruskan galakan penanaman semula sawit dalam kalangan pekebun kecil juga melalui Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit 2.0 (TSPKS 2.0).

Menurutnya, insentif berkenaan ditawarkan dalam bentuk geran padanan menerusi Bank Pertanian Malaysia Berhad (Agrobank) dengan RM100 juta telah diperuntukan untuk memberi manfaat kepada 1,500 orang pekebun kecil dengan jumlah keluasan penanaman sawit sekitar 5,900 hektar. 

Maklumat terperinci serta borang permohonan TSPKS 2.0 juga boleh didapati secara dalam talian di laman sesawang www.mpob.gov.my

-- BERNAMA