BERITA TERKINI   Gangguan elektrik KLIA2: Pengurusan MAHB dan gateway@klia2 diarah siap laporan dalam masa 24 jam - Loke | RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Meningkat Pada Sesi Awal Seiring Prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 15 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka meningkat pada Selasa, dipacu oleh sentimen positif susulan prestasi semalaman Wall Street yang kukuh.

Pada 9.10 pagi ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 4.45 mata kepada 1,485.31 daripada 1,480.86 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka menokok 3.15 mata kepada 1,484.01.

Pasaran meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 210 berbanding 114 manakala sebanyak 267 kaunter tidak berubah, 1,806 tidak didagangkan dan sembilan digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 239.92 juta saham bernilai RM86.88 juta.

Dagangan semalaman menyaksikan Dow Jones meningkat 0.78 peratus kepada 40,524.79 mata, S&P 500 menokok 0.79 peratus kepada 5,405.97 manakala Nasdaq Composite naik 0.64 peratus kepada 16,831.48.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata di peringkat tempatan, FBM KLCI mengatasi jangkaan apabila ditutup pada paras 1,480.86 semalam dan seiring dengan petunjuk positif global susulan tindakan AS menangguhkan tarif.

“Pasaran memaparkan sentimen lebih positif berikutan tanda-tanda yang menunjukkan kemungkinan Presiden Donald Trump lebih lembut dalam pendekatan berkaitan tarif.

“Berikutan itu, kami menjangkakan trend indeks penanda aras dalam julat 1,480-1,500 hari ini," katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan IHH Healthcare meningkat 4.0 sen kepada RM6.82, Maybank meraih 3.0 sen kepada RM9.92, Tenaga Nasional menokok 2.0 sen kepada RM13.40, Public Bank menambah 1.0 sen kepada RM4.32 manakala CIMB Group turun 1.0 sen kepada RM6.72.

Bagi saham aktif, Hubline dan Kucingko masing-masing meningkat 1.0 sen kepada 5.0 sen dan 18 sen manakala Velocity Capital tidak berubah pada 8.0 sen.

Selain itu, Reach Energy turun 1.0 sen kepada setengah sen manakala MSB Global yang baru disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia turun 2.5 sen kepada 17.5 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 33.03 mata kepada 11,032.79, Indeks FBMT 100 menambah sebanyak 30.83 mata kepada 10,815.94, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 34.96 mata kepada 10,854.50, dan Indeks FBM 70 meraih 38.00 mata kepada 15,541.15.

Indeks FBM ACE bagaimanapun susut 6.49 mata kepada 4,518.25.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 48.68 mata kepada 17,803.84, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.05 mata kepada 143.54, Indeks Tenaga menambah 1.01 mata kepada 657.07 manakala Indeks Perladangan menokok 14.06 mata kepada 7,224.39.

-- BERNAMA