BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

Untung Bersih CLMT Suku Pertama Naik Kepada RM37.49 Juta, Agihan Seunit 1.28 Sen

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi iaitu sebanyak RM37.49 juta bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2025 berbanding RM33.49 juta pada tahun sebelumnya.

CLMT dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, perolehan syarikat meningkat kepada RM120.38 juta daripada RM111.88 juta sebelumnya, dipacu menerusi peningkatan perolehan yang dicatatkan kebanyakan hartanah dalam portfolio CLMT.

Dalam makluman berasingan, syarikat mengumumkan pertumbuhan pendapatan boleh agih sebanyak 10.9 peratus kepada RM37.3 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 berbanding suku yang sama tahun sebelumnya dengan peningkatan sepadan sebanyak 7.6 peratus dalam agihan seunit (DPU) kepada 1.28 sen.

"Pendapatan hartanah bersih bagi suku pertama tahun kewangan 2025 menokok sebanyak 9.6 peratus tahun ke tahun kepada RM70.1 juta, dipacu terutamanya oleh peningkatan perolehan dalam kebanyakan hartanah syarikat.

"Prestasi operasi yang lebih kukuh merupakan hasil semakan semula sewa positif bagi hartanah runcit syarikat serta sumbangan pendapatan daripada Pusat Pengedaran Glenmarie yang kini diduduki sepenuhnya selepas selesainya inisiatif penambahbaikan aset syarikat," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM), Yong Su-Lin berkata prestasi kukuh pada suku pertama tahun kewangan 2025 dicapai berdasarkan momentum yang wujud pada suku-suku sebelumnya dengan kebanyakan aset runcitnya terus mencatatkan keputusan yang memberangsangkan.

"Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk meningkatkan pengalaman runcit, baru-baru ini kami menyiapkan kerja penambahbaikan aset di Gurney Plaza selain memperkenalkan konsep runcit baharu untuk menarik perhatian pembeli.

"Kami akan terus mempertingkatkan usaha untuk menarik penyewa baharu yang menarik dan menyediakan gabungan penyewa yang disusun rapi di seluruh portfolio runcit kami," katanya.

-- BERNAMA