BERITA TERKINI   Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, Selangor pagi tadi telah pulih sepenuhnya - TNB | Untung bersih MISC Bhd suku kedua tahun kewangan 2025 susut 14.1 peratus tahun ke tahun kepada RM464.4 juta susulan hasil lebih rendah sebanyak RM2.72 bilion | Harga jualan purata lebih rendah beri kesan kepada hasil Petronas Dagangan Bhd, yang susut kepada RM9.07 bilion suku kedua 2025 daripada RM9.84 bilion suku kedua 2024 | Untung bersih Petronas Dagangan susut kepada RM265.53 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 daripada RM276.39 juta tahun sebelumnya berikutan untung kasar lebih rendah, diimbangi  perbelanjaan rendah | Hutang keseluruhan bertambah kerana beban faedah hutang lama yang diwarisi, bukan kerana pinjaman baharu, rekod jelas menunjukkan hutang baharu berkurang - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup rendah hari ini untuk hari kelima berturut-turut kerana kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran menyebabkan tekanan kepada harga komoditi itu.

“Kami melihat paras sokongan pada RM3,950 satu tan metrik dan paras rintangan pada RM4,100 setan,” kata peniaga minyak sawit David Ng kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Kumpulan Sunvin berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM dilihat diniagakan tidak berubah pagi ini sebelum ditutup rendah hari ini kerana pasaran menjangkakan lebih banyak pembetulan harga berdasarkan jangkaan peningkatan kukuh dalam pengeluaran.

“Dalam pada itu, permintaan domestik tempatan untuk minyak sawit dan produknya masih rendah bagi pasaran India,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak Mei 2025 jatuh RM67 kepada RM4,117 satu tan, Jun 2025 merosot RM54 kepada RM4,016 setan, Julai 2025 berkurangan RM36 kepada RM3,975 satu tan, Ogos 2025 menguncup RM20 kepada RM3,961 setan, September 2025 turun RM6 kepada RM3,959 satu tan, manakala Oktober 2025 merosot RM1 kepada RM3,960 setan. 

Jumlah dagangan turun kepada 72,684 lot daripada 82,063 lot semalam manakala kepentingan terbuka susut kepada 239,000 kontrak daripada 241,147 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk April Selatan jatuh RM50 kepada RM4,250 satu tan.

-- BERNAMA