BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Thailand Intai Sektor Halal Bagi Perkukuh Hubungan Ekonomi Dengan Malaysia --TCC

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Dewan Perniagaan Thai (TCC) melihat sektor halal sebagai platform yang berpotensi bagi memperkukuh kerjasama ekonomi di antara Thailand dengan Malaysia.

Naib Pengerusinya, Dr Visit Limlurcha berkata kedua-dua negara sedang berusaha memperkukuh hubungan perdagangan serantau di tengah-tengah ketidaktentuan global dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Selain itu, katanya wujud kebimbangan berterusan mengenai tarif Amerika Syarikat (AS) yang menambah desakan terhadap usaha kerjasama serantau.

"Rangka kerja pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat global digabungkan dengan kekayaan bahan mentah pertanian Thailand, menyediakan asas yang kukuh untuk menjalin kerjasama sinergi dalam pembangunan produk yang diperakui halal.

"Dengan bertukar kekuatan dan sumber, kedua-dua negara boleh saling menyokong dalam penghasilan barangan halal bernilai tinggi untuk pasaran serantau dan global," katanya kepada pemberita selepas pembentangan mengenai jelajah ProPak Asia 2025 di sini hari ini.

Dikenali sebagai acara perdagangan antarabangsa terulung di rantau ini bagi teknologi pemprosesan dan pembungkusan makanan, minuman serta farmaseutikal, ProPak Asia 2025 akan menghimpunkan pengeluar global dan pemimpin industri di Bangkok, Thailand dari 11 hingga 14 Jun 2025.

Menurut Visit, pihak berkepentingan dalam bidang masing-masing akan bertukar pengetahuan, pengalaman dan idea untuk memupuk kerjasama merentas pelbagai zon industri.

Katanya, kerjasama ini seiring dengan arah dasar baharu Thailand untuk memberi tumpuan kepada "makanan masa depan" iaitu produk makanan yang lestari, berorientasikan kesihatan dan sejajar dengan permintaan pengguna moden termasuk segmen halal.

Mengenai isu tarif AS, beliau menekankan keperluan bagi ekonomi serantau untuk mencipta rantaian bekalan intra-ASEAN yang lebih kukuh selain memastikan sekurang-kurangnya 50 hingga 60 peratus nilai produk diperoleh dalam rantau ini bagi mengekalkan akses ke pasaran global utama.

"Usaha bersama dalam inovasi dan pembangunan produk antara negara-negara ASEAN boleh meningkatkan daya saingnya di peringkat industri global," kata Visit.

-- BERNAMA