BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

Bina Puri Sedia Beri Kerjasama Penuh Dalam Siasatan Aktiviti Dagangan

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Bina Puri Holdings Bhd menyatakan pihaknya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan ke atas aktiviti dagangan luar biasa melibatkan sahamnya, serta beberapa syarikat lain.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat pembinaan itu menjelaskan pihaknya bersedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd sekiranya mereka memerlukan sebarang maklumat atau bantuan sepanjang siasatan itu.

“Syarikat juga ingin meyakinkan kalangan pihak berkepentingan bahawa akaun peribadi dan pegangan saham utama dan pemiliknya tidak akan terjejas atau diakses tanpa kebenaran.

“Lembaga pengarah kekal komited terhadap ketelusan dan perlindungan terhadap kepentingan pelabur,” tambahnya.

Syarikat juga akan memaklumkan perkembangan lanjut apabila lebih banyak maklumat tersedia.

Terdahulu SC dan Bursa Malaysia memaklumkan pihak mereka menerima laporan daripada beberapa broker yang mengenal pasti kegagalan log masuk pelanggan dan akses atau aktiviti dagangan tanpa kebenaran yang dilaksanakan melalui akaun dagangan dalam talian sebilangan kecil pelanggan.

Tindakan telah dilaksanakan untuk memininumkan risiko akses dan dagangan yang tidak dibenarkan selanjutnya, tambah SC dan Bursa Malaysia dalam satu kenyataan bersama.

Jualan singkat harian bagi Bina Puri telah digantung selepas harga sahamnya merosot 42.7 peratus atau 16 sen kepada 21.5 sen semasa awal dagangan hari ini.

Pada 5 petang, saham Bina Puri susut 11 sen atau 29.33 peratus kepada 26.5 sen sesaham dengan 54.18 juta saham bertukar tangan, daripada 37.5 sen sesaham ketika ditutup pada Khamis.

-- BERNAMA