BERITA TERKINI   PM Anwar suarakan kebimbangan terhadap kemerosotan kepercayaan dan persefahaman dalam kalangan pemimpin politik mengenai makna sebenar keadilan dan kemanusiaan | PM Anwar meminta pemimpin agama untuk bersatu dalam mempertahankan kemanusiaan | Gangguan elektrik KLIA2: Pengurusan MAHB dan gateway@klia2 diarah siap laporan dalam masa 24 jam - Loke | RUU Perolehan Kerajaan tidak sama sekali menambah kuasa, sebaliknya mengehadkan kuasa Menteri Kewangan dengan memperkenalkan mekanisme semak dan imbang yang lebih kukuh - Amir Hamzah | 98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | 

Maldives Pelawa Syarikat Malaysia Teroka Peluang Pelaburan Sektor Strategik – Presiden

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Maldives hari ini mempelawa syarikat-syarikat Malaysia untuk meneroka peluang pelaburan baharu dalam sektor strategik susulan pembaharuan undang-undang di negara itu dalam usaha menarik pelabur asing.

Presidennya Dr Mohamed Muizzu berkata antara inisiatif penting itu termasuk penggubalan Undang-Undang Pelaburan Asing baharu pada Disember 2024.

“Undang-undang baharu ini yang selaras dengan amalan antarabangsa terbaik, bertujuan memastikan perlindungan pelabur, ketelusan dan kebolehunjuran terbaik selain memberi kuasa undang-undang kepada perjanjian dua hala serta pelaburan pelbagai hala.

“Ini juga bukan sekadar pembaharuan undang-undang...ia menjadi petunjuk jelas bahawa Maldives benar-benar serius mengenai usaha mengalu-alukan kehadiran rakan dagang terbaik dunia berdasarkan asas kukuh dan boleh dipercayai,” katanya pada Forum Perniagaan Maldives-Malaysia 2025 di sini hari ini.

Muizzu tiba di sini pada Isnin bagi memulakan lawatan rasmi empat hari dan pertama kali ke Malaysia, atas pelawaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar hadir sama pada forum itu dan turut menyampaikan ucaptama.

Menjelaskan selanjutnya, Muizzu berkata daya saing global dan komitmen kukuh Malaysia terhadap pembangunan mampan, juga menyerlahkan potensi besar untuk syarikat terbabit menyumbang kepada pertumbuhan Maldives selain meraih nilai pulangan yang sewajarnya.

“Sektor yang boleh menarik pelabur termasuk hartanah, pelancongan, logistik, tenaga boleh baharu (TBB) dan zon ekonomi khas (SEZ).

“Malah, SEZ kami yang mendapat nafas baharu, menawarkan insentif yang dirangka khusus bagi menarik pelabur berpandangan jauh manakala inisiatif TBB kami pula seiringan dengan anjakan global ke arah kemampanan,” katanya.

Beliau berkata lokasi strategik Maldives di sepanjang laluan perairan perkapalan utama manakala sektor pelancongannya yang berkembang maju, menyuntik peluang besar kepada perniagaan Malaysia yang berhasrat mencari peluang pengembangan dalam sektor maritim dan logistik.

Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Maldives meningkat sebanyak 4.3 peratus kepada US$189 juta (RM862.7 juta) daripada US$180.9 juta (RM827.3 juta) pada 2023, menjadikan Maldives sebagai rakan dagang keenam terbesar dalam kalangan negara Asia Selatan.

-- BERNAMA