BERITA TERKINI   Pengendalian dron tanpa kelulusan boleh datangkan risiko keselamatan, tindakan di bawah Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016 - CAAM | Aktiviti dron, pesawat tanpa pemandu dilarang di kawasan terlibat dengan raptai dan sambutan Hari Kebangsaan - CAAM | Hari Kebangsaan: Ruang udara kawasan kawalan Terminal Kuala Lumpur ditutup pada 26-29 Ogos dan 31 Ogos - CAAM | Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | 

CIMB Bank Beli 16 Hartanah KWSP Pada Harga Tunai RM210 Juta

KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- CIMB Bank Bhd, anak syarikat milik penuh CIMB Group Holdings Bhd, akan membeli 16 hartanah daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada harga tunai RM209.81 juta.

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, CIMB Group berkata CIMB Bank telah memajak 24 hartanah daripada KWSP di bawah perjanjian pajakan bertarikh 30 Disember, 2009, yang akan tamat pada 30 Jun, 2025.

“Pada 30 April, 2025, CIMB Bank memeterai 16 perjanjian jual beli (SPA) untuk memperoleh 16 daripada 24 hartanah ini daripada KWSP, yang kini digunakan oleh CIMB Bank untuk perniagaan perbankannya.

"Dengan ini, CIMB Bank telah menamatkan perjanjian pajakan dengan KWSP," katanya.

CIMB Group berkata transaksi itu akan menyokong strategi CIMB Bank dan mencapai peningkatan keuntungan dan kerugian yang menggalakkan pada 2025.

Selain daripada transaksi berkenaan, CIMB Group berkata CIMB Bank juga bersetuju untuk membeli semula lapan hartanah yang tinggal pada harga yang telah ditetapkan berdasarkan penilaian yang diberikan oleh penilai bebas sekiranya KWSP tidak dapat menjual lapan hartanah itu kepada pihak ketiga.

“Obligasi untuk membeli semula hartanah yang tidak terjual oleh CIMB Bank adalah selaras dengan terma-terma perjanjian pajakan,” tambahnya.

Tanpa sebarang keadaan yang di luar jangka, transaksi itu akan diselesaikan di antara suku keempat 2025 dan suku pertama 2026.

-- BERNAMA