BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad HasanĀ  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Data Centre Nexus 2025 Pacu Masa Depan Digital Malaysia

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menganjurkan Data Centre Nexus 2025, acara yang menghimpunkan 400 pemegang berkepentingan dari seluruh ekosistem digital untuk merangka semula peranan Malaysia dalam ekonomi data global. 

Dalam satu kenyataan hari ini, MIDA berkata acara berkenaan khusus untuk memupuk kerjasama, mengukuhkan rantaian bekalan tempatan dan menangani jurang yang kritikal dalam ekosistem pusat data.

"Ia turut membincangkang dasar-dasar untuk transformasi digital dan menggalakkan penggunaan teknologi awan sebagai pemangkin inovasi dan daya tahan ekonomi. 

"Acara itu juga turut menampilkan pembentangan daripada Amazon Web Services (AWS), Google, Princeton Digital Group (PDG), K2 Strategic Infrastructure Malaysia, YTL Data Centres, DayOne Data Centers, OCBC Bank dan HSBC Bank," katanya.

Sebanyak tujuh sesi panel berimpak tinggi telah membincangkan pelbagai topik seperti pengembangan pusat data, pembinaan infrastruktur digital yang berdaya tahan, inovasi berasaskan AI, serta peluang serantau yang boleh dimanfaatkan untuk faedah ekonomi tempatan, kata MIDA.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, menyeru semua pihak berkepentingan agar bekerjasama untuk mencapai pelbagai kejayaan bagi Malaysia.

"Tiga misi utama sektor pusat data adalah untuk menerajui peralihan tenaga, melabur dalam rantaian bekalan peralatan buatan tempatan untuk mencipta era ‘Diterajui Malaysia’, dan mewujudkan pekerjaan perkhidmatan pusat data untuk Malaysia dan rantau ini merentasi keseluruhan rantaian nilai sektor," kata Liew dalam ucaptama beliau pada majlis itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid pula berkata walaupun menarik pelaburan adalah penting, MIDA kini memberi tumpuan kepada penciptaan nilai dalam ekosistem tempatan.

"Fokus utama kami adalah jelas, iaitu untuk mewujudkan rantaian bekalan tempatan yang berdaya tahan dan dibangunkan di Malaysia, yang secara langsung menyokong pengembangan infrastruktur pusat data negara dalam keadaan ketidaktentuan global.

"Kehadiran syarikat-syarikat dalam rantaian bekalan hari ini menunjukkan kekuatan dan hala tuju ekosistem digital Malaysia yang semakin berkembang," katanya.

MIDA berkata pasaran pusat data Malaysia dijangka berkembang daripada US$4.04 bilion pada 2024 kepada US$13.57 bilion menjelang 2030, didorong oleh kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 22.38 peratus.

-- BERNAMA