BERITA TERKINI   Liga Super: Penang FC 2-1 DPMM FC |  54 kapal GSF kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza -- KP SNCC  | Kapal GSF dijangka memasuki zon berisiko tinggi malam ini, berpotensi berdepan pemintasan - KP SNCC | Pada 6 petang, ringgit turun kepada 3.9515/9580 berbanding dolar AS, daripada 3.9300/9330 ketika ditutup pada Khamis | Pengurusan fiskal yang bertanggungjawab membolehkan kerajaan mengurangkan dampak kenaikan harga bahan api global di samping terus menyokong perbelanjaan isi rumah dan pertumbuhan ekonomi - PM Anwar | 

MCE Meterai MoU Sokong Pengeluaran Tempatan Chery Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- MCE Holdings Bhd, melalui unit milik penuh, Multi-Code Electronics Industries Bhd memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan dua syarikat Wuhu yang berpangkalan di China bagi menyokong pengeluaran tempatan untuk Chery Malaysia.

Dua syarikat berkenaan ialah Cheling Smart Mobility Technology (Wuhu) Co, Ltd (CSM) dan Wuhu Atech Automotive Electronics Co Ltd.

Pengeluar peralatan asal itu berkata kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam beberapa bidang utama, termasuk pengeluaran alat ganti dan komponen automotif tempatan, pemindahan teknologi dan pengetahuan teknikal serta memastikan pematuhan terhadap piawaian kualiti Chery yang ketat.

“Kesemua pihak turut komited untuk membangunkan tenaga kerja tempatan melalui program latihan dan peningkatan kemahiran, dan juga akan mempertimbangkan pelaburan bersama dalam peralatan atau kemudahan bagi menyokong keperluan pengeluaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan MCE Dr Goh Kar Chun berkata MOU itu mencerminkan rekod prestasi kukuh MCE dalam reka bentuk dan pembuatan serta komitmen syarikat untuk menyokong pengeluar kereta yang berinisiatif memulakan pengeluaran tempatan mereka.

“Dengan idea tempatan yang mendalam dan keupayaan yang terbukti, kami berada pada kedudukan yang baik untuk membantu pemain global mewujudkan dan mengembangkan kehadiran mereka di Malaysia, sambil menyumbang kepada rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya.

Dalam makluman MCE kepada Bursa Malaysia, CSM terlibat terutamanya dalam pembangunan dan pengendalian penyelesaian mobiliti pintar manakala Wuhu Atech Automotive Electronics mengkhusus dalam reka bentuk, pembangunan, pembuatan dan penjualan produk elektronik automotif. 

-- BERNAMA