BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Keyfield Meterai MoU Dengan Syarikat Indonesia Teroka Kerjasama Perkhidmatan Marin

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Keyfield International Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Keyfield Offshore Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PT Elnusa Trans Samudera (ETSA).

MoU itu bertujuan meneroka dan menjalinkan kerjasama mendapatkan peluang-peluang dalam perkhidmatan marin, terutamanya untuk sektor minyak dan gas serta industri berkaitan di Indonesia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Keyfield berkata di bawah MoU itu, ETSA akan bertanggungjawab untuk mencari dan memperoleh tender, manakala Keyfield akan menyokong ETSA dengan mendapatkan aset-aset marin terpilih, khususnya kapal pemasangan kabel dan kapal dasar laut, serta kru berpengalaman untuk mengendalikan aset yang diperlukan.

"Dengan menggabungkan kepakaran teknikal dan keupayaan armada Keyfield dengan pengetahuan pasaran tempatan serta kehadiran ETSA, kami berada di kedudukan yang kukuh untuk menyediakan penyelesaian sokongan marin yang komprehensif di salah satu pasaran tenaga yang paling dinamik di Asia Tenggara," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Eksekutif Keyfield Datuk Darren Kee.

Setelah memperoleh projek, kedua-dua pihak akan menandatangani perjanjian berasingan bagi memformalkan terma dan syarat projek yang telah diraih.

ETSA merupakan anak syarikat PT Elnusa Tbk, sebuah syarikat Indonesia yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan sokongan pengangkutan marin untuk industri minyak dan gas di Indonesia.

Ia juga ahli kepada Elnusa Group, sebuah entiti terkenal dalam industri minyak dan gas di Indonesia.

-- BERNAMA